Kami bukan minta bayaran melampau - Khatijah Tan - Utusan Malaysia

Kami bukan minta bayaran melampau – Khatijah Tan

KHATIJAH TAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG kerancakan industri drama dan filem hari ini, sebenarnya masih ada artis veteran yang menerima bayaran ‘cukup-cukup makan’.

Malah, beberapa artis veteran sebelum ini menyuarakan kebimbangan sekiranya isu bayaran ini terus membelenggu mereka.

Perkara ini ‘memancing’ pandangan pelakon senior, Khatijah Tan yang menurut nasihat rakan industrinya agar tidak menurunkan kadar bayaran jika ditawarkan peluang lakonan dengan harga yang murah.   

“Radio Televisyen Malaysia (RTM) contohnya, pelakon dibayar berdasarkan gred. Artis veteran ada bayaran yang diletakkan.

“Saya dan Datuk Fauziah Nawi pernah berbincang, Nasihat beliau, jangan turunkan kadar bayaran saya.

“Katanya, artis veteran mempunyai nilai tersendiri. Bila diturunkan Harga, nilai mereka akan jatuh.

“Jadi kata Fauziah, mahu atau tidak pertahankan yang ditetapkan walaupun terpaksa kehilangan tawaran berlakon.

“Saya bersyukur kerana ada sahabat yang mengingatkan saya tentang perkara ini,” katanya selepas Malam Gala dan Sidang Media filem Nar’sata: Sekutu Setan baru-baru ini.

Menurut Khatijah, kadar bayaran pelakon veteran bukanlah menjadi perkara yang dirahsiakan malah diketahui stesen televisyen dan penerbit.

“Saya pasti stesen swasta atau syarikat produksi maklum akan bayaran artis veteran kerana mereka saling bercerita sesama sendiri.

“Tapi ada masanya mereka mahu mencuba nasib dengan menawarkan harga cukup rendah.

“Namun percayalah, susah untuk bekerjasama dengan bayaran tidak setimpal. Kami bukan minta bayaran terlampau tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, Khatijah menyangkal bayaran yang diletakkannya pada kadar melampau.

“Ada penerbit yang berkata kepada saya bahawa dia takut nak ambil saya berlakon kerana bayaran mahal.

“Dalam hati saya, kalau takut nak ambil saya berlakon buat apa hubungi saya? 

“Orang kata bayaran saya tinggi, saya sangkal perkara itu. Sama sahaja kan.

“Tapi kalau bayaran begini pun tak boleh lunaskan, apalah nilai pelakon veteran di mata mereka?” kongsinya.

Mengenang pemergian Allahyarham jalil Hamid yang meninggal dunia dalam tidur pada 4 Mei lalu, Khatijah memaklumkan amat terkesan dengan kehilangan permata seni tersebut.

Katanya, Allahyarham merupakan anak seni yang berjuang habis-habisan berhubung hal ehwal artis veteran, lebih-lebih lagi mengenai isu bayaran tidak setimpal.

“Dia merupakan antara sebilangan kecil pelakon veteran yang menolak mengenai bayaran rendah yang diberikan kepada artis veteran. 

“Allahyarham Jalil Hamid ini berani bersuara dan saya pernah terbaca beberapa artikel yang ditulis mengenainya sebelum ini. 

“Saya sangat menghargai kejujuran beliau dalam memperjuangkan nasib pelakon lama. Kami akan meneruskan perjuangan beliau dan tidak akan berhenti selagi berlaku ketidak adilan,” kongsinya.

DIA ADA WAJAH ITU

Mengulas mengenai pembabitan cucunya, Aisha Andre dalam filem Nar’sata: Sekutu Setan yang diarahkan oleh anak beliau iaitu, Pierre Andre, Khatijah meluahkan rasa bangga kerana akhirnya Aisha secara perlahan-lahan mengikut jejak ayahnya menjadi pelakon.

“Ini merupakan kali kedua beliau membuat kemunculan dimana yang pertama dalam filem Dajjal. 

“Walaupun masih kanak-kanak, dia mempunyai potensi yang cukup besar untuk menjadi pelakon dari raut wajahnya lagi kita boleh menilai. 

“Cuma dia perlu asah lagi bakat sedia ada. Saya pasti satu hari nanti dia akan menjadi bintang disegani jika dia benar-benar meletakkan seni sebagai minat,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN