Johor mahu Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy diiktiraf sekolah bantuan penuh kerajaan - Utusan Malaysia

Johor mahu Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy diiktiraf sekolah bantuan penuh kerajaan

ZAITON Ismail (tengah) menyaksikan Rozaini Mohd. Sani (dua kanan) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Cerebral Palsy Johor, Tunku Fatimah Faridah Tunku Osman di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/ KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berharap kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pendidikan dapat mengiktiraf Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy Johor, di sini sebagai sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, perkara itu kini masih di peringkat awal perbincangan.

“Berhubung perkara ini, ia masih dalam peringkat cadangan awal. Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor berhubung perkara ini,” katanya ketika menghadiri Majlis Serahan Sumbangan Kepada Persatuan Cerebral Palsy Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Zaiton turut menasihati golongan ibu bapa yang mempunyai anak dalam kategori orang kurang upaya (OKU) untuk mendaftarkan anak mereka dengan pihak kerajaan.

“Anak-anak ini perlu didaftarkan bagi membolehkan kita mengenal pasti program bersesuaian yang boleh diikuti mereka dalam meningkatkan kebolehan kendiri.

“Perkara ini penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan, kerana anak-anak ini semuanya mempunyai kebolehan dan kepandaian tersendiri. Paling utama, mereka dapat belajar untuk berdikari,” ujarnya.

Zaiton turut memaklumkan peruntukan khas daripada Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan tandas di persatuan itu.

Dianggarkan seramai 68,000 individu OKU melibatkan pelbagai usia telah berdaftar di seluruh negeri ini.

Dalam program tersebut, Johor Corporation (JCorp) menerusi pelbagai anak syarikatnya menyampaikan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada persatuan itu.

Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd. Sani memberitahu, sumbangan itu bertujuan untuk membiayai keperluan persatuan terbabit dalam menjalankan pelbagai aktiviti mereka sepanjang tahun ini.

“Sumbangan ini disampaikan menerusi anak syarikat JCorp antaranya Kulim (Malaysia) Bhd., KPJ Healthcare Bhd., QSR Brands (M) Holdings Bhd., Johor Land Bhd. dan Waqaf An-Nur Corporation Bhd..

“Ini juga merupakan sumbangan permulaan dan JCorp akan melihat bantuan-bantuan lain yang boleh diberikan dari semasa ke semasa,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya