Jadikan lokasi bom lama khazanah, tapak warisan - Utusan Malaysia

Jadikan lokasi bom lama khazanah, tapak warisan

AZLAN MOHD SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lokasi dan penemuan bom-bom lama peninggalan zaman Perang Dunia Kedua perlu dipulihara sebagai simbol khazanah dan tapak warisan negara ini yang kaya dengan sejarah dan konflik peperangan.

Tanggungjawab berkenaan terletak kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Pertahanan dan Muzium Polis Diraja Malaysia bagi memastikan apa sahaja penemuan tidak ‘terabai’ begitu sahaja.

Pengkaji sejarah merangkap anggota Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia, Batu Pahat, Johor, Azlan Mohd. Sharif sebaliknya berkata, ia perlu dijadikan sebagai sumber rujukan yang boleh memberi manfaat kepada penyelidik, pihak berkuasa atau masyarakat.

Malah, katanya, muzium di peringkat negeri seperti Yayasan Warisan Johor, Muzium dan Galeri Melaka (Perzim), Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Shah Alam (Padat) juga boleh memainkan peranan dalam memastikan lokasi dan bom-bom lama berkenaan terus kekal dipulihara.

“Kita beruntung kerana negara ini kaya dengan sejarah peperangan pada masa silam. Justeru, setiap negeri yang mempunyai badan berkuasa sendiri boleh bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk meneliti sama ada patut atau tidak mengkategorikan kawasan penemuan bom-bom lama sebagai kawasan yang perlu dijaga dan dipantau.

“Tidak boleh serahkan semua peranan dan tanggungjawab kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sahaja. Lagipun, Akta Warisan Kebangsaan 2005 menerangkan peranan pegawai daerah apabila berlaku penemuan objek atau tapak warisan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, beberapa siri penemuan bom lama berlaku di negara ini sejak beberapa tahun lalu. Terbaru, 18 Februari lalu, penduduk kampung di Kampung Melayu Ulu Tiram, Johor digemparkan dengan penemuan bom lama jenis Shell 85 milimeter yang dipercayai dilancarkan sewaktu Perang Dunia Kedua.

Sebutir bom lama jenis UXO seberat 25 kilogram (kg) dipercayai masih aktif turut ditemui penduduk di Kampung Mengkadang, Kolombong, Sabah pada 6 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, penemuan bom bukan sesuatu yang disengajakan, jauh sekali terdapat unsur jenayah kerana ia sememangnya peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.

Cuma, katanya, kehadiran bom-bom lama tersebut mengakibatkan timbul perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat kerana boleh mengancam keselamatan terutamanya jika masih mengandungi bahan letupan aktif walaupun sudah berusia puluhan tahun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.