PUTRAJAYA: Pindaan perlembagaan untuk membolehkan individu berusia 18 tahun didaftar sebagai pengundi masih di bawah bidang tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan malah menyerahkan kepada agensi itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara ini memang kerja SPR. Kena rujuk balik kepada mereka,” katanya ringkas mengulas muka depan Utusan Malaysia semalam berhubung isu pewartaan pemilih berumur 18 tahun.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertanggungjawab membawa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi tindakan susulan.
Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan pengundi itu kepada 18 tahun masih tidak dapat diwartakan ekoran tiada perkenan Seri Paduka..
Menurutnya, sehingga sekarang, ia ‘tersangkut’ di peringkat JPM dan bukannya peranan SPR pula membawa pindaan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan.
Takiyuddin sebelum ini bagaimanapun dilaporkan berkata, tanggungjawab kerajaan sudah ditunaikan sebaik sahaja Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di peringkat Parlimen.
Ia ujar beliau, melibatkan Artikel 47 mengenai umur calon dan Artikel 119 berhubung usia minimum layak mengundi yang mendapat kelulusan ketika era kerajaan Pakatan Harapan lalu.
Namun, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mendakwa, pindaan itu belum lagi lengkap untuk diwartakan.
Beliau merujuk kenyataan bekas menteri di JPM, mendiang Datuk Liew Vui Keong pada 2019 lalu yang mengakui ada pindaan lain perlu dibuat dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Kemelut kelewatan itu yang sepatutnya berkuasa kuasa 1 Julai ini, dijangka menyaksikan tiada pengundi berusia 18 tahun sehingga 21 tahun terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, daftar pemilih tambahan yang mewartakan senarai baharu pada suku ketiga akhir tahun lalu pada 16 November bakal digunakan jika Parlimen dibubar untuk PRU akan datang.
Ia melibatkan hampir 16 juta pemilih yang berusia 21 tahun ke atas. Tempoh hayat Dewan Rakyat hanya akan berakhir untuk pembubaran secara automatik pada 16 Julai 2023. – UTUSAN ONLINE










