'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' - Utusan Malaysia

‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan kini dilihat memberikan seribu satu alasan terhadap pelaksanaan undi 18 tahun dengan melambatkan proses pewartaan meskipun pindaan Perlembagaan Persekutuan telah memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah melakukan kajian terperinci berhubung pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk masalah berbangkit jika dilaksanakan kelak.

Kata Ahli Parlimen Muar itu, secara umumnya pelaksanaan undang-undang itu mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum pihaknya membentangkan usul pindaan had umur di Dewan Rakyat.

“Sebelum kita membentangkan undang-undang pindaan, kita telah melakukan kajian menyeluruh termasuk masalah dijangka timbul kelak.

“Sebaliknya, mengapa kerajaan hari ini dilihat seolah-olah beri banyak alasan untuk melaksanakan undi 18 tahun. Adakah mereka takut kuasa undi anak muda dalam pilihan raya umum nanti? Soalnya bukan kerenah birokrasi tetapi masalah antara mahu atau tidak mahu. Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya.

Semalam bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun mungkin tidak dapat dilaksanakan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq selaku individu bertanggunjawab menjayakan pindaan undang-undang undi 18 tahun kesal dengan tindak-tanduk kerajaan melambatkan proses pelaksanaannya sedangkan perkara itu mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli Parlimen.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa tidak membuat pusingan U kepada had umur 21 tahun seperti ditetapkan selama ini.

“Malah pelbagai termasuk parti politik seperti UMNO dan Gabungan Parti Sarawak telah memberikan sokongan undi 18 tahun, jadi mengapa perlu takut dengan kuasa undi anak muda,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN