Galakkan JMB kenakan insurans kediaman - Utusan Malaysia

Galakkan JMB kenakan insurans kediaman

AMIRUDIN Shari (kanan) melihat kabin yang terjejas akibat dilanda ribut dua hari lalu di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan negeri menggalakkan semua Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri di Selangor mengambil langkah mengenakan insurans kediaman kepada penduduk sebagai suatu jaminan sekiranya berlaku sebarang bencana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penduduk juga boleh menggunakan insurans itu bagi tujuan memperbaiki kemudahan yang terjejas daripada bencana dan perkara yang tidak diingini.

“Namun begitu apabila mengenakan insurans kediaman, ia sebenarnya ikut kemampuan JMB itu sendiri dalam mendapatkan dana daripada kutipan penduduk.

“Pada masa sama, ia perlu mengikut keupayaan penduduk untuk membayar kerja-kerja penyelenggaraan dan caj yang dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan yang dilanda bencana ribut di Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini hari ini.

Turut serta dalam lawatan tapak itu adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain.

Amirudin berkata, kerajaan negeri juga mungkin boleh mendahulukan bayaran sebelum penduduk mendapat bayaran insurans terbabit dengan meneliti tempoh masa yang diambil dalam proses tuntutan.

“Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan laporan penuh daripada Pejabat Tanah dan MPSepang dalam melihat apa yang perlu dibantu.

“Saya dimaklumkan seramai 120 penduduk terjejas akibat bencana baru-baru ini jadi bantuan bencana ‘one off’ sebanyak RM500 akan segera diberikan dalam minggu ini,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Amirudin berkata, tiada keperluan mendesak untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa ini.

Beliau bagaimana berkata, satu usul kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan dibuat jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Katanya, ini kerana segala urusan untuk mengadakan sidang DUN dan Dewan Rakyat terkandung dalam Ordinan Darurat yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau ada keperluan kita akan bawa namun setakat ini belum ada keperluan mendesak tetapi kita sedang menilai semula kalau ada keperluan kita perlu panggil sidang DUN.

“Kita akan usulkan jika ada keperluan untuk sebarang pindaan Rang Undang-Undang ataupun pembentangan kelulusan RUU termasuk undang-undang perbekalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya