GUA MUSANG: Empat wanita dari Kampung Pasir Tumbuh, di sini menjana pendapatan keluarga dengan menjalankan perniagaan ikan pekasam air tawar yang dijual secara dalam talian.
Usaha berkenaan menjana pendapatan sehingga lebih RM1,000 sebulan kepada Ilah Idris, 40; Norzilawati Yahya, 40; Rosmaria Ramli, 36, dan Che Ronah Abdullah, 45, ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.
IIah berkata, mereka menghasilkan sebanyak 50 kilogram ikan pekasam setiap minggu untuk dijual.
Katanya, ikan pekasam yang diperam secara tradisional itu dihasilkan daripada ikan sungai seperti tilapia, lampam, puyu, haruan dan patin.
“Cara membuat ikan pekasam sangat mudah. Ikan hanya perlu dibersihkan terlebih dulu sebelum dimasukkan garam dan beras seterusnya letak ke dalam bekas yang sesuai.
“Kami berbangga produk ikan pekasam Kampung Pasir Tumbuh menembusi pasaran luar negeri ini yang dijual dengan pelbagai harga serendah RM5 hingga RM25 sepeket,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Sementara itu, Rosmaria berkata, proses menghasilkan ikan pekasam itu mengambil masa enam jam sehari dan diperam tiga hari sebelum dapat dipasarkan. – UTUSAN ONLINE