Dua tokan edar dadah RM42,000 diberkas - Utusan Malaysia

Dua tokan edar dadah RM42,000 diberkas

DADAH bernilai RM42,000 yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Kling dan Kandang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki disyaki tokan diberkas bersama-sama dadah bernilai RM42,000 dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Kling dan Kandang di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil risikan, suspek pertama berusia 50 tahun yang juga seorang duda berjaya ditangkap pada pukul 2.20 petang di hadapan sebuah kedai di Tanjung Kling pada Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan pada suspek menjumpai dadah disyaki heroin seberat 382 gram dan syabu 11.6 gram bernilai RM14,470.

“Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan di tepi jalan di kawasan Kandang pada pukul 9 malam dan menahan suspek kedua bersama-sama rampasan dadah disyaki heroin seberat 2,527 gram bernilai RM27,500,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Zulkiflee menambah, kesemua dadah itu dipercayai bekalan untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.

“Hasil saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.

“Semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod lampau membabitkan dadah dan satu jenayah, manakala suspek kedua mempunyai lapan rekod dadah serta satu jenayah,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah motosikalnya jenis Modenas Kriss bernilai RM4,000 yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan pengedaran.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya