Ditembak tiga kali, ditetak enam kali oleh pengganas Sulu - Utusan Malaysia

Ditembak tiga kali, ditetak enam kali oleh pengganas Sulu

ABDUL MAJID Mohd. Ali (kanan) menyampaikan sumbangan Op Daulat Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia kepada Mohamad Hasnal Jamil pada Majlis Sambutan Hari Polis ke-214 di IPK Melaka , Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Saya telah ditembak tiga kali, satu di perut yang menembusi badan belakang dan dua di lengan. Walaupun parah, setelah saya nampak pegawai saya Superintendan Ibrahim Lebar (dinaikkan pangkat kepada Asisten Komisioner) masih bernyawa, saya gagahkan diri untuk menyelamatkannya.

“Namun, beliau akhirnya ‘gugur’ ditepi saya,” kata Deputi Superintenden Mohamad Hasnal Jamil.

Peristiwa berdarah pada 2 Mac 2013 yang berlaku kira-kira pukul 7.30 malam di Kampung Simunul, Semporna, Sabah itu akan terus disimpannya rapi dalam ingatan dan disemat kemas di dada sebagai salah seorang pejuang negara.

Mohamad Hasnal merupakan salah seorang pegawai daripada Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam Op Daulat bagi menghapuskan militan Royal Security Force (RSF) yang cuba merampas Sabah dengan dakwaan ia merupakan tanah wilayah kesultanan Sulu.

Beliau berkata, pertempuran itu berlaku selepas pasukan negara dapat menghidu pergerakan RSF, yang diasaskan oleh Jamalul Kiram III dan rancangan mereka untuk menawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Jelasnya, sebelum pasukan pertahanan menyelinap masuk ke perkampungan tersebut, beliau bagaimanapun sempat bertanya buat kali terakhir kepada Allahyarham Ibrahim mengenai keputusan untuk berjuang bermatian-matian pada malam terbabit.

“Saya tanya tuan (Ibrahim), musuh dah tahu, mereka dah bersedia, macam mana tuan?

“Saya tanya pandangannya, Allahyarham balas, Hasnal, kita lawan. Maka, masa itu saya telah nekad untuk bertempur habis-habisan. Ketika kejadian, musuh memulakan tembakan sebelum disusuli pasukan kami. Bunyi tembakan dalam pertempuran itu langsung tidak berhenti selama 15 minit pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka , Bukit Beruang di sini, hari ini.

Sewaktu peristiwa hitam itu berlaku, beliau berpangkat inspektor dan terus berkhidmat di cawangan sama sebelum ditugaskan di IPK Melaka kira-kira empat bulan lalu.

Mohamad Hasnal memberitahu, dalam pertempuran itu juga, lima teman seperjuangannya turut syahid di medan perang.

“Saya nampak Tuan Ibrahim kena tembak, namun, dia masih bernyawa. Dalam keadaan saya sendiri parah selepas turut terkena tembakan, saya gagahkan diri cuba selamatkannya dan diserang pengganas sebelum ditetak sebanyak enam kali, tiga di kepala dan tiga di tangan kanan.

“Pada malam itu, kami bagaimanapun berjaya menumpaskan 10 orang pengganas RFS, namun, Tuan Ibrahim kemudian ‘gugur’ di sebelah saya.

“Semasa kejadian itu pun, kita semua tahu risiko dan pengakhiran, kita tahu mereka ada senjata, namun negara ini lebih utama.

“Kami sebagai pasukan polis telah berjanji taat setia kepada negara, jadi kami bertekad untuk bersama-sama mempertahankannya. Saya sayangkan negara ini, negara kita cuma ada satu,” tegasnya.

Pada majlis itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali turut menyampaikan sumbangan Op Daulat Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia kepada Mohamad Hasnal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya