fbpx

23 Oktober 2021, 9:46 am

  TERKINI

Demi maslahah Johor – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin hadir mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kita akan terus bersama-sama. Itu janji kita, bukan untuk UMNO tetapi negeri Johor.”

Itu tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, setakat hari ini tiada keputusan berhubung penarikan sokongan tersebut kerana Bersatu lebih memikirkan soal menjaga kemaslahatan di negeri itu.

“Yang penting dari sudut Bersatu adalah memikirkan soal negara, negeri dan rakyat supaya tidak timbul satu pergolakan yang nanti akan membawa kesan buruk kepada negeri dan negara.

“Sebab itu di peringkat negara, saya dan rakan Kabinet UMNO telah putuskan mereka terus kekal bersama, baik menteri atau timbalan menteri. Jadi untuk Johor akan kekal begitu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor di sini, hari ini.

Beliau turut meluahkan harapan supaya keadilan diberikan kepada parti tersebut di Johor.

“Cuma harapan kita berlaku adillah kepada Bersatu kerana ada rungutan.. pembahagian jawatan ketua-ketua kampung yang dibuat secara tidak dirunding dengan betul. Ini membangkitkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ketua Bersatu Johor berkata, dalam mesyuarat itu, Bersatu Johor menyuarakan rasa kesal terhadap hasil Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kenyataan rasmi sudah dikeluarkan oleh Bersatu Johor beberapa hari lepas,” katanya.

Mengenai kerjasama antara Bersatu dan Pas, beliau yang juga Pengerusi PN berkata, dalam apa jua situasi dan keadaan, kedua-dua parti tersebut terus bersama-sama.

“Kita telah bertekad supaya apa pun situasi, kita bersama-sama dan baiknya dalam mesyuarat saya hadir bersama Pas di peringkat nasional, nampak komitmen kami kedua-dua parti terhadap hala tuju ke hadapan yang amat jelas.

“Apa pun yang berlaku itu soal UMNO, tetapi dari sudut kerjasama Pas dan Bersatu untuk ke hadapan itu jelas termasuk penubuhan jawatan kuasa bersama, berbincang persiapan pilihan raya, rundingan kerusi kerana saya rasa ini nak diutamakan,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu Johor mengingatkan Hasni bahawa beliau boleh tumbang pada bila-bila masa berikutan memiliki sokongan rapuh sebagai Menteri Besar.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Md. Nasir Hashim dilaporkan berkata, hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti yang membentuk kerajaan negeri termasuk wakil rakyat Bersatu boleh menentukan nasib Hasni dan UMNO di negeri itu ketika ini.

Ini berikutan kenyataan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada Persidangan Agung UMNO baru-baru ini berkaitan Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh adalah lemah di kawasan sendiri. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI