Cendawan kukur hasil pulangan lumayan - Utusan Malaysia

Cendawan kukur hasil pulangan lumayan

NOOR Saiful Amri Suloh menunjukkan cendawan kukur yang diusahakan di bawah Pontian Farmer Group di Kampung Parit Seraya, Benut di Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Cendawan kukur yang biasanya tumbuh pada pokok-pokok getah reput dan mati selalunya dipetik orang ramai untuk dijadikan bahan dalam masakan berasaskan lemak cili padi dan beberapa menu lain.

Namun, pengusaha Cendawan Saifulam Agro Farm, Noor Saiful Amri Suloh menukarkan tanaman tersebut secara komersial dengan menanamnya secara bongkah seperti mana tanaman tiram kelabu.

Katanya, projek yang baru dimulakan di bawah Pontian Farmer Group (PFG) memulakan penanaman cendawan kukur dengan 300 bongkah pertama yang dijangka dapat dituai dalam tempoh tiga minggu lagi.

Menurut Noor Saiful, elemen penting dalam penyediaan cendawan kukur adalah seperti habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian selain benih cendawan itu yang kemudiannya ditanam sama ada dengan kaedah menggantung mahupun hanya diletakkan di atas lantai.

“Kami menjangkakan pengeluaran bagi peringkat pertama sebanyak 60 hingga 80 kilogram dengan harga sekilogram dipasarkan antara RM70 ke RM80,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Noor Saiful, hasil penyelidikan yang dilakukan oleh pihak Universiti Malaya (UM) itu mendapati, cendawan kukur mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi berbanding cendawan lain antaranya cendawan butang, enoki dan tiram.

“Memandangkan sekarang sukar untuk mendapatkan cendawan kukur, projek ini mampu memberikan pilihan kepada pengguna yang menggemari masakan ini sebagaimana orang tua dahulu,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya cendawan kukur terbabit dikeringkan, harganya boleh melonjak kepada RM250 sekilogram yang secara tidak langsung boleh dijadikan sumber ekonomi baharu jika diusahakan secara komersial dan berskala besar.

Katanya, pada masa akan datang, PFG akan menambah jumlah bilangan bongkah kepada 3,000 unit bagi memenuhi permintaan pelanggan yang telah mengetahui khasiat memakan cendawan kukur itu.

Selain projek cendawan kukur, pihaknya juga mengusahakan ternakan arnab pedaging New Zealand White Hibrit dan ayam kampung baka Arab dengan permulaan masing-masing sebanyak 300 ekor dan 27 ekor.

Katanya, baka arnab itu dibeli daripada Peladang Setiu Agro Resort dengan harga RM140 seekor dan boleh dijual setelah mencapai usia tiga bulan dengan pasaran daging sekilogram yang berharga RM35.

“Projek-projek dibawah PFG diharap dapat memberikan peluang pendapatan baru kepada anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian untuk menceburi bidang pertanian termasuk ternakan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya