fbpx

13 April 2021, 6:56 pm

  TERKINI

Bossku masih menyengat

NAJIB Tun Razak (kanan) ketika tiba di PWTC, Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020. Turut kelihatan Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengaruh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak masih berbisa apabila kemunculan beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini mendapat sambutan para perwakilan.

Beliau yang memakai baju merah turut melawat persidangan sayap-sayap UMNO yang berlangsung secara serentak di dewan berasingan.

Walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sengatan pengaruh ‘Bossku’ itu dilihat masih berbisa sehingga ke hari ini dalam kalangan ahli UMNO.

Situasi itu boleh dilihat menerusi sambutan beliau ke sini dengan tepukan gemuruh para perwakilan setiap sayap.

Ketibaan beliau diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hari ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC yang turut disiarkan menerusi media sosial.

Selepas acara perasmian itu, ketua setiap sayap menyampaikan ucapan dasar masing-masing dengan Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Dr. Ismail, Pergerakan Pemuda (Dewan Tun Hussein Onn) dan Pergerakan Puteri di Dewan Merdeka.

Ucapan dasar setiap ketua sayap UMNO ini turut disiarkan menerusi media sosial.

Ia diikuti perbahasan perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO itu yang mana ucapan wakil UMNO dari negeri-negeri disiarkan secara dalaman menerusi aplikasi Webex sebelum ditangguhkan pada pukul 7 petang.

Upacara perasmian Perhimpunan Agung UMNO pula dijadual berlangsung pada pukul 8.30 pagi esok di Dewan Merdeka yang mana acara kemuncaknya adalah ucapan dasar Presiden UMNO. – UTUSAN ONLINE