Bicara kes rasuah Ahmad Zahid mulai 24 Mei - Utusan Malaysia

Bicara kes rasuah Ahmad Zahid mulai 24 Mei

HAMIDI Mohd. Noh. (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) selama 16 hari bermula 24 Mei ini.

Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan bagi kes itu bermula pada Mei iaitu pada 24, 25 dan 27.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan lanjut pada Jun depan iaitu 1 hingga 3, 14 hingga 18 dan 21 hingga 25.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika ditemui berkata, kira-kira 15 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan berkenaan.

“Selain itu, kita akan menyediakan keterangan saksi secara komprehensif seperti yang diminta mahkamah. Kita dan pihak pembelaan bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan itu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya, Hamidi Mohd. Noh.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid, 68, mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid juga didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ahmad Zahid dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, Ahmad Zahid didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya