Bersatu sedia bertanding semua kerusi, jika UMNO tiada toleransi - Utusan Malaysia

Bersatu sedia bertanding semua kerusi, jika UMNO tiada toleransi

RINA MOHD. HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa parti itu sedia bertanding semua kerusi sekiranya UMNO tidak mahu bertoleransi dalam perkara berkenaan.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya akan sentiasa berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang belum selesai, setiap pihak perlu bersatu tanpa mengira ideologi politik dan sepatutnya memberikan fokus kepada usaha kerajaan dalam mewujudkan imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Oleh yang demikian, segala bentuk provokasi dan cubaan mengganggu-gugat kestabilan politik di negara ini perlulah dihentikan.

“Sesungguhnya Srikandi Bersatu akan sentiasa berdiri teguh bersama Perdana Menteri untuk mendepani PRU-15 kelak dan sedia bertanding semua kerusi sekiranya UMNO tidak mahu toleransi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebulat sua­ra memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos ini, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada yang merupakan tambahan daripada usul yang dikemukakan iaitu tidak bekerjsama dengan Bersatu pada PRU-15.

Rina berkata, ketika negara dilanda krisis pandemik, situasi politik yang sihat, mencipta rasa keamanan dan keharmonian kepada rakyat amatlah penting dalam memastikan ketenteraman dan kestabilan ekonomi terpelihara.

Katanya, kehidupan rakyat di negara ini sudah cukup terkesan dengan pandemik, justeru, sebagai ahli politik yang diberikan mandat oleh rakyat, beliau dan semua ahli Srikandi Bersatu akan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat di akar umbi dan bukannya menambahkan lagi kegelisahan mereka.

Kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin, jelas beliau, akan terus komited dalam memberikan sepenuh tumpuan kepada keselamatan rakyat, kesihatan awam dan pertumbuhan ekonomi ke arah Malaysia yang sejahtera.

“Ini adalah masanya untuk mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam melaksanakan pelbagai inisiatif ransangan ekonomi yang telah diumumkan untuk kebajikan rakyat.

“Srikandi Bersatu berpegang kukuh menjunjung prinsip-prinsip perjuangan parti yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama, memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara serta memacu pembangunan ekonomi mapan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya