PUTRAJAYA: Sebarang cadangan yang realistik bagi memastikan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam Parlimen perlu diketengahkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun agar kerajaan memberikan insentif kewangan kepada mana-mana parti politik yang mengangkat calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang, perlu dipertimbangkan.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pemimpin wanita perlu diangkat tidak kira mana-mana parti sekali pun demi memartabatkan peranan golongan itu.
“Saya sokong mana-mana cadangan realistik yang mampu untuk memastikan kuota sekurang kurangnya 30 peratus wanita dalam Parlimen.
“Cadangan Speaker Dewan Rakyat pun elok dikaji dan dipertimbangkan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Azhar mengemukakan cadangan itu sebagai galakan kepada parti politik untuk memastikan kuota 30 peratus untuk wanita dalam Parlimen dapat dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pada masa sama, Azhar mengakui pembabitan wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan khususnya di peringkat Parlimen masih jauh daripada kuota 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini.
Pada masa ini, hanya ada 14 peratus atau 33 wanita daripada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Shahrizat yang juga Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) menempelak tindakan sebuah portal yang membuat undian secara dalam talian berhubung siapakah pemimpin pelapis pilihan orang ramai.
Dalam senarai 15 pemimpin yang dikemukakan itu, tidak ada satu pun pemimpin yang disenaraikan sekurang-kurangnya seorang dalam kalangan wanita.
“Tidak mungkin tidak ada satu pun pemimpin wanita hari ini, tidak kira parti politik mana yang dianggap layak?
“Walaupun ini hanya berbentuk undian sahaja. Negara kita sudah merdeka berdekad-dekad. Terkedu saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










