fbpx

11 April 2021, 2:41 pm

  TERKINI

750 usahawan berjaya akan dilahirkan

CHE Abdullah Mat Nawi melawat projek tanaman mempelam harumanis pada program Jelajah Agropreneur di Inapan Seri Laksamana, Kampung Lubuk Kawah, Jitra. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan untuk melahirkan seramai 750 usahawanan muda berjaya melalui Program Agropreneur Muda (PAM) tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, angka tersebut diyakini mampu dicapai bersandarkan kepada kejayaan kementerian melahirkan seramai 6,908 usahawan agro muda di seluruh negara sejak Januari 2016 hingga Disember tahun lalu.

Malah katanya, kementerian menyediakan peruntukan RM15 juta menerusi pelbagai program bagi mencapai sasaran melahirkan usahawan muda berjaya tahun ini.

Jelasnya, antara cabaran yang perlu diatasi dalam merealisasikan hasrat itu adalah mengubah persepsi anak muda yang menganggap bidang pertanian dan usahawan agro sebagai kotor, sukar dan berbahaya.

“Persepsi sebegitu perlu diubah kerana bidang ini sebenarnya menghasilkan pulangan cukup lumayan hingga mampu melahirkan jutawan. Kita berusaha bersungguh-sungguh bagi menyedarkan anak muda mengenai peluang-peluang yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke program Jelajah Agropreneur di Inapan Seri Laksamana, Kampung Lubuk Kawah, Jitra di sini hari.

Che Abdullah berkata, PAM mula diperkenalkan sejak 2016 dan dilancarkan khas buat golongan muda berusia antara 18 hingga 40 tahun bagi membantu serta menggalakkan penglibatan mereka dalam sektor agro makanan.

Menurutnya, antara sektor tersebut seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, pemasaran dan kursus teknikal.

“Melalui program tersebut, para peserta berpeluang menerima bantuan antaranya geran berbentuk barangan mencecah RM20,000 bagi projek baharu serta penyediaan bantuan modal melalui pakej pembiayaan khas Tekun Nasional berjumlah antara 50,000 hingga RM200,000,” jelasnya.

Che Abdullah menambah, isu tanah-tanah pertanian yang ditukar menjadi tanah industri serta perumahan menjadi antara cabaran dihadapi pihaknya dalam memastikan jumlah pengeluaran hasil makanan di negara ini dapat terus ditingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa.

Katanya, masalah itu didapati tidak hanya berlaku di negara ini sebaliknya menjadi isu global yang berlaku di seluruh dunia di mana tuntutan terhadap keperluan perumahan dan pembangunan ekonomi mendatangkan kesan terhadap isu keselamatan makanan.

“Namun, perkara ini sentiasa menjadi perhatian tidak hanya oleh pihak kementerian malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri turut menubuhkan jawatankuasa Kabinet mengenai dasar sekuriti makanan dipengerusikannya.

“Insya-Allah di sebalik isu yang timbul, kita tetap berusaha mencapai sasaran untuk mengurangkan kebergantungan import. Perkara itu juga telah dimasukkan dalam perancangan Dasar Agro Makanan 2 yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.