PETALING JAYA : Bukan sahaja melakukan pengubahsuaian menyalahi undang-undang malah ada antara bangunan yang dikenal pasti tidak mempunyai keselamatan dan perlindungan kebakaran yang mencukupi dan tidak diselenggara dengan baik sehingga boleh membahayakan penghuni.
Itulah keadaan kira-kira 3,442 bangunan di seluruh negara yang berada dalam kategori berisiko tinggi tetapi tidak mempunyai Perakuan Bomba.
Lebih memeranjatkan, daripada 3,442 itu, kira-kira 2,545 buah premis melibatkan hotel, kilang, asrama pekerja dan bangunan pejabat termasuklah bangunan pejabat milik kerajaan, perindustrian dan perniagaan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba (Akta 341) 1988.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, dianggarkan hanya 4,157 kilang, hotel dan bangunan pejabat telah memiliki sijil FC manakala sejumlah besar lagi premis dikesan masih belum mematuhi sistem keselamatan dan pencegahan yang ditetapkan JBPM.
Katanya, sebanyak 1,128 bangunan kilang, 680 buah hotel, 631 buah pejabat dan 106 asrama pekerja antara dikenal pasti masih tidak memiliki FC walaupun notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis serta pengurusan bangunan bagi memenuhi keperluan tersebut demi keselamatan penghuni.
“Bangunan-bangunan itu dipercayai tidak memiliki FC kerana didapati terdapat sistem pepasangan keselamatan kebakaran yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan mengubahsuai tanpa kelulusan, semasa pemeriksaan dilakukan oleh JBPM.
“Bagi bangunan hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula, tindakan telah diambil oleh pihak KKM dengan kerjasama agensi terlibat bagi menyediakan pelan komprehensif dan menaiktaraf sistem pepasangan tetap kebombaan di premis-premis di seluruh negara. Selain itu, pasukan khas bagi menangani isu keselamatan dan perlindungan kebakaran di hospital turut dilakukan KKM bagi menangani isu keselamatan dan perlindungan kebakaran selain memastika semua hospital memperoleh dan memiliki FC,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkara ini, Mohammad Hamdan berkata, bagi sesetengah premis yang diambil tindakan, ada kalanya bangunan tersebut pernah mempunyai FC sebelum ini namun pemilik tidak memperbaharuinya sebaik FC tamat tempoh.
Ujarnya, jika pemilik gagal berbuat demikian, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 33, Akta 341 iaitu tidak mempunyai FC berkuatkuasa dengan mana-mana premis ditetapkan.
“Perkara itu dipercayai berlaku kerana keengganan pemilik premis menanggung kos tambahan untuk meningkatkan aspek penyelenggaraan dan juga menjaga keselamatan seterusnya gagal mendapat sijil perakuan dikeluarkan JBPM.
“Banyak kes, sebelum ini ada FC, namun dalam setahun selepas beroperasi ada diantara mereka melakukan pengubahsuaian premis dan menyebabkan mereka gagal memohon semula atas alasan faktor kos, kononnya mereka tidak mampu untuk memenuhi ketetapan reka bentuk dan juga keperluan keselamatan mencegah kebakaran yang dicadangkan oleh pihak JBPM.
“Kerana tidak mahu rugi sedikit, pemilik premis tidak sedar perbuatan mereka itu boleh membahayakan nyawa iaitu satu kerugian yang lebih besar dan tidak boleh diganti dengan wang ringgit, sekiranya kebakaran berlaku” tegasnya.
Ini kerana, jelas Mohammad Hamdan, sebelum sesebuah premis dibina dan boleh diduduki, ia perlu melalui beberapa proses kelulusan dan ini sememangnya diketahui oleh setiap pemaju dan pihak perunding arkitek yang mereka bentuk bangunan berkenaan.
Ujar beliau, pada peringkat perancangan pihak perunding arkitek perlu menyerahkan reka bentuk dan pelan bangunan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendapat kelulusan projek daripada agensi agensi teknikal yang melibatkan pelbagai keperluan seperti sistem pembetungan, perparitan, piawaian elektrik, sumber air dan juga keselamatan kebakaran bangunan. – UTUSAN










