UUM setuju enam kategori pelajar kembali ke kampus - Utusan Malaysia

UUM setuju enam kategori pelajar kembali ke kampus

AHMAD BASHAWIR ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyambut baik pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi semalam yang bersetuju untuk membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac depan.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mahasiswa terlibat terpelihara.

“Dua perkara itu akan menjadi agenda dan perhatian utama dalam setiap keputusan dibuat.

“Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19 dalam kampus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara tiga kategori mahasiswa yang dibenarkan kembali ke kampus adalah program pengajian sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; pelajar yang tidak mempunyai akses, persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian serta pelajar asasi atau setara dan diploma sedia ada di kampus.

Tiga lagi kategori yang terlibat adalah mahasiswa antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; mahasiswa berkeperluan khas terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) serta mahasiswa yang menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), antarabangasa dan badan profesional.

Mengulas lanjut Ahmad Bashawir berkata, pihaknya akan mengeluarkan hebahan dari semasa ke semasa menerusi e-mel dan media sosial rasmi universiti berhubung perkara itu.

“Mahasiswa akan dimaklumkan mengenai proses permohonan kembali ke kampus berdasarkan syarat ditetapkan serta informasi pengendalian kursus bagi semester ini,” katanya.

Tambahnya, sebarang pertanyaan mengenai permohonan kemasukan ke kampus boleh diajukan kepada pusat pengajian pelajar (SAC) UUM menerusi talian 04-9284150 manakala informasi mengenai pengurusan kuliah boleh diajukan kepada Jabatan Hal Ehwal Akademik 04-9283303. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN