UMNO pecah jika Najib jalin kerjasama dengan Anwar, DAP - Utusan Malaysia

UMNO pecah jika Najib jalin kerjasama dengan Anwar, DAP

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perpecahan dalam UMNO semakin nyata apabila ada pihak tertentu yang mahu bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ini terbukti dengan kenyataan terbuka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tidak mustahil UMNO boleh bekerjasama dengan pihak atau parti yang telah dilabel sebagai musuh politik, seperti DAP dan PKR.

Jelas beliau, walaupun Ahli Parlimen Pekan itu menafikan ‘kerjasama dengan musuh itu’ bukan kerjasama dengan Anwar dan DAP, maka beliau boleh memberi fokus dan meningkatkan kerjasama dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

“Perpecahan dalam UMNO ini semakin nyata apabila ada pihak tertentu telah memberi sokongan kepada Anwar dan berulang kali mahu membuat jajaran politik baharu dengan merosakkan agenda penyatuan ummah.

“Usaha individu-individu yang mahukan jajaran politik baharu inilah punca perpecahan dalam UMNO dan yang membuatkan agenda penyatuan ummah tergendala dan tidak lancar,” katanya di sini semalam.

Dalam temu bual khas bersama Astro Awani kelmarin, Najib menyatakan sedemikian dan memberitahu parti yang pernah beliau pimpin selama sembilan tahun itu sememangnya mengamalkan pendirian terbuka kepada semua pilihan, namun ia haruslah mendapat persetujuan pemimpin dan akar umbi.

Bagaimanapun dalam catatan Facebook Najib menjelaskan, apa langkah untuk bekerjasama dan siapa yang mahu berpakat, perlu dipersetujui dan diterima majoriti ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO-BN dan wajar dikaji demi masa depan parti dan juga demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

Dalam pada itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Mohd. Alfie Zainal Abidin berkata, parti boleh membuat usul tergempar mempertahankan dasar ‘No DAP, No Anwar’ pada perhimpunan agung UMNO yang akan diadakan tidak lama lagi dan di situ suara sebenar UMNO.

Namun beliau yakin Najib tahu proses parti dan mungkin sedang cuba untuk mempengaruhi ahli UMNO mengubah ketetapan Majlis Tertinggi (MT).

“Buat masa ini ketetapan parti ialah ‘No DAP, No Anwar’. Namun perkara ini boleh diubah dengan persetujuan MT.

“Saya yakin majoriti MT akan menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan Anwar. Apa yang Najib cadangkan itu ialah pendapat peribadi dia. Saya juga yakin UMNO akan mengutamakan kesatuan kerajaan Melayu Islam dan akan cuba sedaya upaya mempertahankannya selagi parti tidak dibuli oleh rakan parti yang lain,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya