fbpx

11 April 2021, 11:02 pm

  TERKINI

Tulisan A. Kadir Jasin tidak matang

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemuda Pas Johor menyifatkan tulisan Datuk A. Kadir Jasin berkenaan Majlis Raja-Raja Melayu dan Pengisytiharan Darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai tidak matang dan tidak berasas.

Ketuanya, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, tulisan itu dibuat hanya bersandarkan andaian tetapi tidak berdasarkan kepada fakta selain bersifat spekulatif.

Beliau berkata, Pemuda Pas negeri mengecam usaha memperkecil institusi raja yang sekian lama menjadi payung kesucian Islam di negara ini.

“Bahkan, beliau secara licik menutup kenyataan tersebut dengan seperti memberi peringatan bahawa kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu akan turut terkesan sekiranya perbahasan dalam kalangan warganegara berhubung pengisytiharan darurat dan penangguhan sidang Parlimen tidak ditangani.

“Suatu kenyataan yang wajar diklasifikasi sebagai tidak bermerit, justeru, kita menyifatkan kenyataan tersebut sebagai suatu hasutan dan tindakan pemilik akaun ini sebagai penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar sebagaimana termaktub dalam undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selasa lalu, A. Kadir menerusi satu tulisan dalam Facebook rasminya bertajuk Cerita Rakyat dan Payong Mahkota menyatakan, sekiranya perbahasan dalam masyarakat mengenai darurat dan penggantungan Parlimen tidak diatasi, kedudukan institusi diraja akan turut dilibatkan.

Tambah Ahmad Nawfal, Pemuda Pas memandang serius perkara tersebut dan menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap A. Kadir berhubung kenyataan itu mengikut Seksyen 2, Seksyen 3 dan Seksyen 4(1)(a) di bawah Akta Hasutan 1948.

“Kesetiaan kepada raja dan negara merupakan satu sendi Rukun Negara bahkan Raja-Raja Melayu dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Suatu kesetiaan yang tiada belah bahagi, sehubungan itu Pemuda Pas Johor mengajak semua rakyat untuk mempertahankannya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah pula berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan bersangka buruk terhadap institusi diraja sekali gus tidak wajar dikeluarkan oleh seorang individu bergelar Tokoh Wartawan.

Pemuda UMNO Johor katanya, turut mengecam keras tulisan tersebut dan sepatutnya sebagai ‘orang lama’, A. Kadir tahu garis batasan dalam penulisan termasuk mempersoalkan dan menghina institusi diraja.

“Ini bukan kali pertama A. Kadir buat kenyataan seperti itu, pada 2018 beliau pernah dikecam ramai pihak yang didakwa menghina dan memburukkan institusi diraja terutama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,” katanya. -UTUSAN ONLINE