IPOH: “Saya ada bukti, tiada niat memfitnah atau mahu melaga-lagakan polis dan SPRM’.
Itu jawapan Datuk Hamidah Osman terhadap tuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bahawa beliau melaga-lagakan agensi itu dengan polis berhubung laporan polis yang dibuatnya mengenai isu tanah rizab Melayu yang dipindah milik.
Menurut Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu, beliau hanya menyuarakan rasa kecewa apabila SPRM Perak memaklumkan mereka tidak menerima laporan polis yang telah dibuatnya mengenai tanah rizab Melayu yang dipindah milik.
“Apabila polis maklumkan mereka sudah hantar surat bertarikh 30 September kepada SPRM, maka anggapan munasabah kita adalah SPRM kini ambil alih siasatan.
“Tetapi SPRM menafikan terima surat tersebut. Saya hanya tertanya-tanya siapa yang siasat kes tanah rizab Melayu ini sebenarnya?
“Polis kata SPRM, SPRM kata belum terima apa-apa laporan daripada polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Hamidah, tuduhan beliau melaga-lagakan SPRM dan polis merupakan tuduhan berat dan tidak berasas.
Semalam, Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad menyifatkan kenyataan Hamidah bahawa pihaknya dan polis ‘melayan’ isu tanah rizab Melayu ‘seperti bola’ sebagai cubaan untuk melaga-lagakan dua agensi berkenaan.
Mohd. Fauzi berkata, kenyataan Hamidah kononnya SPRM dan polis saling menuding jari adalah mengarut. – UTUSAN










