Sultan Nazrin zahir penghargaan guru bersihkan sungai - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin zahir penghargaan guru bersihkan sungai

WARKAH penghargaan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas usaha dan sifat terpuji seorang guru, Ismail Mohd. Zain atas kerja rutin membersihkan Sungai Balun di Slim River daripada sampah sarap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menzahirkan penghargaan atas usaha dan sifat terpuji yang ditunjukkan seorang guru, Ismail Mohd. Zain atas kerja rutin membersihkan Sungai Balun di Slim River daripada sampah sarap.

Dalam warkah penghargaan yang sampaikan kepada guru berkenaan, Sultan Nazrin turut memuji usaha Ismail yang melaksanakan tugas berkenaan secara sukarela.

“Usaha membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap yang terperangkap bukan sahaja membantu pengaliran air sungai yang dapat menghindarkan banjir, malah, turut membantu memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak, seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.

“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat yang amat terpuji yang telah saudara pamerkan. 

“Bertugas sebagai seorang guru, saudara telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion perguruan dan sewajarnya dijadikan contoh oleh warga dan pelajar-pelajar di negara ini.

“Semoga Allah SWT menerima usaha murni yang dilakukan sebagai amar makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia ganjaran akhirat,” titah baginda dalam warkah berkenaan yang dikongsi kepada media hari ini.

Usaha murni Ismail dilaporkan sebuah akhbar pada 14 Februari lalu menceritakan kerja sukarela yang dilakukan beliau dalam membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap meskipun terpaksa meredah selut dan berdepan lintah.

Guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Besout 1 itu melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut bertujuan memastikan aliran air sungai berkenaan lancar dan tidak tersekat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya