ROS tolak Parti Muda, Pejuang kerana permohonan tidak teratur - Utusan Malaysia

ROS tolak Parti Muda, Pejuang kerana permohonan tidak teratur

HAMZAH Zainuddin menunjukkan perlembagaan parti Pejuang yang tidak teratur dalam sidang akhbar, di Putrajaya, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana permohonan tersebut tidak teratur selaras dengan peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia berdasarkan semakan terperinci ke atas dokumentasi permohonan pendaftaran kedua-dua parti itu.

Atas pertimbangan itu, katanya, pendaftaran kedua-dua parti itu ditolak pada 6 Januari lalu berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Seksyen 18 Akta 335, permohonan rayuan boleh dibuat kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh masa 30 hari daripada tarikh keputusan tersebut.

“Pada 8 Januari lalu, Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang telah mengadakan perbincangan bersama pihak ROS bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan permohonan rayuan pada hari yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Hamzah berkata, sehingga hari ini Jawatankuasa Penaja Parti Muda tidak berjumpa dengan pihak ROS bagi tujuan konsultansi dan masih belum mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada beliau selaku Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, kata beliau, ROS dengan ini menegaskan bahawa sesuatu pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335 adalah menjadi suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 akta yang sama.

Beliau menjelaskan, matlamat penubuhan ROS adalah untuk memastikan semua pertubuhan yang berdaftar adalah teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara kebajikan, keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan maka tindakan pendakwaan boleh dikenakan di bawah akta yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya