Polis serbu 4 premis curi elektrik - Utusan Malaysia

Polis serbu 4 premis curi elektrik

MIOR Faridalathrash Wahid (kiri) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan mata wang bitcoin di daerah Tapah apabila menyerbu empat buah premis, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan tersebut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama sepasukan juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batang Padang.

Katanya, dalam serbuan Op Bersepadu Bitcoin itu, polis merampas pelbagai barang yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut yang mengakibatkan kerugian besar kepada TNB.

“Menerusi serbuan itu, kita merampas 221 unit mesin bitcoin bersama power supply, 12 unit mesin server, empat unit suis utama dan dua unit monitor.

“Turut dirampas dalam serbuan sama, satu unit pemprosesan komputer, satu unit papan kekunci dan tetikus, 12 unit modem internet dan 221 unit wayar penyambung berwarna hitam. Keseluruhan rampasan bernilai RM500,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail.

Menurut Mior Faridalathrash, siasatan mendapati sindiket berkenaan mampu mengaut keuntungan bulanan sehingga RM1.5 juta.

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemilik premis dan suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti kaitan antara serbuan di premis berkenaan dengan 24 buah premis lain yang diserbu di tujuh daerah sebelum ini.

“Kita percaya mereka mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya.

Menerusi laporan akhbar baru-baru ini, sebanyak 1,554 unit mesin untuk aktiviti perlombongan bitcoin bernilai RM2.2 juta dirampas selepas menahan 25 lelaki dalam serbuan berasingan dari 1 Disember lalu hingga minggu lalu.

Tangkapan itu dibuat selepas polis menyerbu 24 buah premis di tujuh daerah di negeri ini yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat aktiviti perlombongan bitcoin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya