fbpx

11 April 2021, 11:37 pm

  TERKINI

PN NS bersedia dengan apa juga keputusan UMNO

EDDIN Syazlee Shith (kanan) bersama Mahamad Farizan bergambar di hadapan rumah Zulzilah (tengah) selepas merasmikan Rumah Baitijannati, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Ghalib, Sungai Jelutong, Batu Kikir, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan bersedia dengan sebarang keputusan yang akan diambil oleh UMNO termasuk mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, situasi ketika ini adalah Ahli Parlimen UMNO majoritinya masih bersama kerajaan PN dan pendirian itu setakat ini diambil oleh PN berhubung kerjasama kedua-dua belah pihak.

“UMNO masih belum menentukan pendirian mereka berkenaan kedudukan dalam kerajaan PN, majoriti ahli Parlimen daripada UMNO masih lagi dalam kerajaan, jadi, saya ambil yang itu. 

“Kalau UMNO kekal dengan keputusan yang mereka buat, kita terpaksa bersedia dalam apa keadaan sekali pun. Bagaimanapun saya lihat perlunya keterbukaan dalam perkara membabitkan kepentingan orang Melayu secara kolektif, kalau fikirkan mengenai nasib dan masa depan orang Melayu kita kena sama-sama duduk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Baitijannati, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penerima, Zulzilah Abdul Radzi, 62, di Kampung Ghalib, Sungai Jelutong, Batu Kikir dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Peruncitan TNB Negeri Sembilan, Mahamad Farizan Mahamad.

Minggu lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam mesyuarat yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU) di Janda Baik, Pahang dikatakan membuat keputusan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan berkata, jawatankuasa PN Negeri Sembilan akan diumumkan secara rasmi dalam satu majlis minggu hadapan.

“Kita akan umumkan barisan jawatankuasa PN di Negeri Sembilan pada 4 Mac depan di Seremban. Mesyuarat pertama jawatankuasa ini telah dijalankan.

“Secara rasminya minggu hadapan dan akan ada kenyataan rasmi bersama iaitu di antara Bersatu, Pas dan Gerakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE