PKPD di Kampung Teluk dan Felda Triang 3 tamat - Utusan Malaysia

PKPD di Kampung Teluk dan Felda Triang 3 tamat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua lokaliti yang masing-masing di Perak dan Pahang bakal menyaksikan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak pada hari esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, salah satu lokaliti PKPD tersebut ialah di Kampung Teluk Setiawan yang berakhir mengikut jadual pada 24 Februari.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 131 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif 26 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Namun ujar beliau, baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi kes baharu dikesan selepas 17 Februari melibatkan lebih 400 penduduk di perkampungan itu.

Justeru kata beliau lagi, setelah membuat penilaian rapi risiko dengan pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal, PKPD di situ ditamatkan esok setelah bermula pada 11 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa PKPD di Felda Triang 3, Bera, Pahang yang dijadualkan tamat pada 3 Mac depan, turut akan berakhirnya lebih awal pada hari esok.

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan penularan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada sampel saringan sedang menunggu keputusan,” katanya.

PKPD di skim rancangan tanah itu yang bermula 18 Februari lalu melibatkan perumahan estet kelapa sawit dan Taman Lamanda Permai dengan meliputi sejumlah 1,356 orang penduduk.

Felda Triang 3 terletak hanya tiga kilometer dari bandar Bera dan 150 kilometer dari ibu negeri Pahang, Kuantan serta merupakan antara 14 skim rancangan Felda dalam Daerah Bera.

Beliau turut memaklumkan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) membuat 35 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam dengan hanya satu tidak beroperasi.

“Sementara selebihnya itu didapati mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan sejak 20 April tahun lalu, sejumlah 8,840 tapak binaan telah pun diperiksa,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.