PKPD di 3 kampung Daerah Besut ditamatkan - Utusan Malaysia

PKPD di 3 kampung Daerah Besut ditamatkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah hampir dua minggu, tiga kampung di Mukim Pasir Akar, Daerah Besut, Terengganu bakal ditamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada lusa.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor dengan 2,152 penduduk.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 108 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 39 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Namun, pihak kementerian itu mengesahkan baki kes aktif menunjukkan trend penurunan dan semua pesakit sudah discaj manakala kontak rapat sudah melengkapkan kuarantin di rumah.

Justeru ujarnya, setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD pada 27 Februari seperti yang dijadualkan.

Tiga perkampungan yang berkeluasan keseluruhan hampir 18 hektar itu sering menjadi laluan pilihan pelancong tempatan dan asing untuk pergi bercuti di Pulau Perhentian berdekatan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengulangi bahawa industri perhotelan tempatan tidak pernah diarahkan ditutup malah diizinkan beroperasi yang meliputi resort, motel dan inap desa.

“Orang ramai dalam kawasan tersebut dibenarkan bercuti bersama ahli keluarga dengan bermalam di mana-mana hotel asalkan tidak rentas daerah yang masih dilarang,” tegasnya.

Ditanya pemberita mengenai isu tular kanak-kanak dikompaun pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor kerana tiada pelitup, beliau berkata, tindakan itu salah.

Sebaliknya jelas beliau, Kementerian Kesihatan hanya menurunkan kuasa tersebut di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kepada pihak polis sahaja.

Ismail Sabri turut ditanya isu tular empat pelajar sekolah dengan alamat kediaman yang berbeza dalam sebuah kereta telah dikompaun pihak polis ketika melalui sekatan jalan raya.

“Ia bukan pun kesalahan kerana mereka masih lagi ikut kapasiti jumlah tempat duduk dalam kenderaan walaupun bukan dari rumah yang sama dan dinasihat boleh buat rayuan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya