PKP: Pekerja swasta kelas kedua? - Utusan Malaysia

PKP: Pekerja swasta kelas kedua?

Arahan Bekerja Dari Rumah boleh mengurangkan kepadatan ruang kerja di pejabat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekerja swasta di negara ini ibarat golongan kelas kedua apabila terpaksa menanggung beban bersendirian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Sebaliknya, penjawat awam pula hidup dalam keadaan selesa dan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada kerajaan.

Dalam tempoh sukar ini, gaji penjawat awam bukan sahaja tidak terjejas dan elaun diterima seperti biasa, malah mereka tetap menerima kenaikan gaji tahunan tanpa mengambil kira usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan.

Ini bukan perihal dengki kepada penjawat awam, namun, hakikatnya pekerja swasta seolah-olah bersendirian menanggung beban akibat pandemik Covid-19 di negara ini.

Bagi Presiden Kongres Kessatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, beliau menganggap pekerja swasta juga berkhidmat kepada negara sama seperti penjawat-penjawat awam yang lain.

Namun, katanya, pekerja swasta tetap tidak mendapat perlindungan sewajarnya dan terpaksa menghadapi risiko pengurangan gaji, kehilangan pekerjaan, meraih pendapatan sampingan malah terpaksa menggunakan wang simpanan untuk kelangsungan hidup.

“Kerajaan berjanji mahu memberikan perlindungan kepada semua tidak kira sama ada individu itu kakitangan awam ataupun swasta. Saya bersyukur penjawat awam mendapat perlindungan 100 peratus tetapi perlindungan untuk pekerja swasta tidak mencukupi. Ini satu bentuk diskriminasi.

”Walaupun kami dilindungi dengan beberapa akta seperti Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, kami masih terpaksa pakai duit simpanan sendiri dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana peruntukan dari kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja swasta hanya sekitar lima peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada masa sama, Abdul Halim mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membantu pekerja swasta yang sudah kehabisan wang simpanan KWSP jika PKP dilanjutkan pada masa akan datang.

“Apa akan jadi selepas ini jika PKP dilanjutkan, ada kalangan pekerja swasta yang langsung sudah tidak ada wang simpanan untuk hari tua.

“Kerajaan harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada pekerja swasta kerana kami terpaksa bantu diri sendiri, ‘survival’ sendiri,” katanya.

Justeru, Abdul Halim menggesa kerajaan supaya memperuntukkan wang pinjaman kepada majikan bagi memastikan pekerja swasta tidak kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

“Berilah pinjaman 12 bulan kepada syarikat dengan syarat pekerja tidak boleh diberhentikan dan gaji mesti dibayar.

“Kerajaan juga mempunyai peranan untuk membantu sektor swasta, janganlah anggap kami ini rakyat kelas kedua, kami ini sama kelas dengan penjawat awam, kerajaanlah yang boleh menentukan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.