Peluru berpandu: Kerajaan pertimbang tindakan susulan termasuk perundangan

Peluru berpandu: Kerajaan pertimbang tindakan susulan termasuk perundangan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan tindakan susulan termasuk aspek perundangan berkaitan pembatalan pembekalan peluru berpandu anti kapal (NSM) da­ripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport pada saat akhir amat dikesali malah alasan-alasan dikemukakan juga tidak dapat diterima sama sekali.

Katanya, justeru usaha melalui saluran diplomatik sedang dilaksanakan selain mempertimbangkan tindakan susulan termasuk aspek perundangan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah diberikan maklumat dan hasil terkini perbincangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan Perdana Menteri Norway semalam.

“Kerajaaan Malaysia amat kesal tindakan Norway tidak meluluskan permit eksport perolehan sebuah siri berpandu pada saat akhir walhal kontrak tersebut dimeterai sejak 2018 malah semua pembayaran kontrak dibuat mengikut jadual. Ini sangat mengecewakan dan amat dikesali.

“Usaha melalui saluran diplomatik sedang dilaksanakan malah kerajaan Malaysia sedang mempertimbangan tindakan susulan termasuk aspek perundangan,” katanya semasa sidang akhbar di sini.

Ditanya sama ada Norway akan membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia, Fahmi menjelas bahawa isu tersebut melibatkan kerajaan Malaysia dengan syarikat pembekal dan tidak melibatkan kerajaan Norway secara langsung namun ia dalam penelitian.

“Isu ini ada dibangkitkan Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Norway namun ia membabitkan kerajaan Malaysia dengan syarikat pembekal dari Norway.

“Kerajaan Norway yang menarik balik dan tidak memberikan permit eksport kepada syarikat untuk menghantar pembekalan berkenaan pada saat akhir namun perkara ini akan dibincangkan dan dalam penelitian,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.

Mohamed Khaled dilapor berkata, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan dan rasa terperanjat kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset berkenaan, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lalu.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN