JOHOR BAHRU: Persatuan Pesara Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seorang individu yang memperlekehkan kerabat Diraja Johor di laman sosial Facebook, semalam.
Setiausahanya, Hairol Nazli Hamdan berkata, hantaran yang dibuat pemilik akaun bernama Faruq Sungib itu menimbulkan rasa kurang senang dan menjejaskan keharmonian rakyat negeri ini.
Katanya, dalam hantaran yang sama, kenyataan terbabit didakwa menghasut serta memperlekehkan doa yang sentiasa dibaca selepas solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh negeri.
“Saya percaya ‘kerabat J’ yang dimaksudkan dalam kenyataan itu merujuk kepada kerabat diraja Johor dan ini menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat Johor.
“Saya sudah berkhidmat kira-kira 20 tahun bersama JMF, saya tahu apa amal jariah yang dibuat kerabat diraja terhadap rakyat di negeri ini.
“Individu ini turut menyentuh tentang doa yang dibacakan setiap hari Jumaat buat Sultan dan kerabat sedangkan doa itu dibaca untuk keseluruhan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Semalam, pemilik akaun itu memuat naik hantaran mengatakan kerabat J bermegah dengan kemewahan ketika rakyat sedang bergelut pada waktu penularan pandemik Covid-19.
Hairol Nazli berkata, pihaknya meminta agar pihak polis segera menjalankan siasatan untuk dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.
“Kami turut mendesak individu berkenaan membuat permohonan maaf kepada kerabat dan rakyat Johor yang terguris dengan kenyataan yang dikeluarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kes tersebut.
Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN ONLINE










