Penjarakan fizikal masjid di Perlis dilonggarkan kepada satu meter - Utusan Malaysia

Penjarakan fizikal masjid di Perlis dilonggarkan kepada satu meter

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kelonggaran syarat penjarakan fizikal berkaitan pengimarahan di masjid di negeri ini dibenarkan satu meter berbanding dua sebelum ini, mengikut kapasiti maksimum masjid sepanjang tempoh pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan perkembangan semasa penurunan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Baginda bertitah, ketetapan tersebut bermula pada waktu Subuh semalam sehingga waktu Isyak pada 18 Februari atau sehingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan.

“Melihat perkembangan positif pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selama ini, adalah diperkenankan kelonggaran penjarakan fizikal dari dua meter kepada sekurang-kurangnya satu meter dengan kebenaran hadir bilangan jemaah berkapasiti maksimum mengikut saiz masjid.

“Kebenaran ini terpakai di semua masjid di seluruh Perlis dan turut diperluaskan di surau asrama. Namun begitu, pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dapat diizinkan,” titah baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah, selain pematuhan terhadap SOP, kehadiran menunaikan solat Jumaat dan solat fardu hendaklah terdiri daripada kalangan anak kariah atau petugas dalam kariah sahaja.

Titah baginda lagi, individu yang baru pulang dari kawasan luar atau melakukan aktiviti rentas sempadan walaupun yang melaksanakan tugas kerja harian adalah tidak dibenarkan hadir dalam tempoh aktif penularan.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, warganegara asing yang bukan anak kariah turut dilarang hadir.

“Memahami akan keperluan untuk meneruskan pengajaran agama di masjid, pelaksanaan bacaan dan terjemahan al-Quran pada setiap kali selepas solat Subuh adalah dibenarkan dan bacaan dicadangkan hanya sekitar separuh muka surat dengan mengambil kira kadar masa 15 minit tempoh maksimum berada di dalam masjid.

“Walaupun kelas, pengajian dan sebagainya masih tidak dapat dibenarkan buat masa ini, seluruh rakyat masih boleh meneruskan pengajian secara dalam talian, antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN