Pengusaha kolam ikan keli didakwa lepaskan bahan buangan ke Sungai Selangor - Utusan Malaysia

Pengusaha kolam ikan keli didakwa lepaskan bahan buangan ke Sungai Selangor

TAN Kim Hong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan melepaskan bahan buangan dari premisnya ke dalam Sungai Selangor Disember tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini. UTUSAN FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Seorang pengusaha kolam ikan keli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan cara melepaskan bahan buangan ke Sungai Selangor, Disember tahun lalu.

Tan Kim Hong, 61, didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis ternakan ikan keli dilupuskan ke dalam alur air yang mengalir ke Sungai Selangor.

Menurut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan berlaku kesusutan terhadap bekalan air minuman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Mukim Serendah, Hulu Selangor di sini pada 7 Disember tahun lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan serius dan tidak boleh dijamin.

“Kes ini telah menyebabkan kira-kira lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam dan merupakan kali keempat berlaku sejak Januari tahun lalu.

“Namun dalam kes ini mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberi jaminan terhadap tertuduh,” kata Mohd. Asnawi.

Bagaimanapun, peguam Zulfahami Abu Bakar yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga

“Sekiranya jaminan diberikan, tertuduh bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah, ” katanya.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan bahawa tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri
di balai polis berdekatan sebulan sekali.

“Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi-saksi dan sekiranya syarat -syarat itu dilanggar mahkamah akan menarik semula jaminan,” katanya.

Tarikh 24 Mac ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. Pada 24 Disember tahun lalu Kosmo! Online melaporkan seorang pengusaha kolam ikan keli dan empat pekerjanya ditahan selepas disyaki
terlibat dalam kes pencemaran air Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 7 Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan awal mendapati pelepasan air dari kolam ikan keli di Serendah itu menjadi punca pencemaran yang menyebabkan loji rawatan
dihenti tugas.

Sebelum itu, Kosmo! turut melaporkan, sebuah kolam ternakan ikan keli tanpa lesen melepaskan sisa pembuangan daripada 57 buah kolam di kawasan tersebut menjadi punca kepada penutupan empat buah Loji
Rawatan Air (LRA) Selangor selama lima jam sehingga menyebabkan pencemaran bau pada paras empat ton di Sungai Selangor.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.