Pengusaha kedai tinted kesal tidak dibenarkan beroperasi - Utusan Malaysia

Pengusaha kedai tinted kesal tidak dibenarkan beroperasi

MOHD. Hafizee Mohd. Arop menunjukkan surat kebenaran beroperasi bagi pengusaha kedai aksesori filem penapis haba atau tinted kenderaan semasa PKP yang dikeluarkan oleh MITI di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengusaha kedai aksesori filem penapis haba atau tinted kenderaan di negeri ini kecewa apabila tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Difahamkan, penguatkuasaan untuk penutupan operasi hanya di jalankan di Perak walaupun model perniagaan kedai berkenaan termaktub di bawah automotif yang dibenarkan beroperasi.

Selain itu, kesemua kedai berkenaan juga mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Seorang pengusaha kedai, Mohd. Hafizee Mohd. Arop, 35, berkata, dia kesal apabila kedainya diarah tutup oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak.

Katanya, lebih mengecewakan lagi apabila arahan penutupan itu hanya berlaku di negeri ini sedangkan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan telah diikuti pihaknya.

“Apa yang saya tahu ini hanya berlaku di negeri ini, kenapa kami tidak dibenarkan beroperasi sedangkan tiada langsung dalam senarai perniagaan tidak dibenarkan.

“Pusat cuci kereta dan lain-lain sudah dibenarkan beroperasi kerana tiada kluster, kedai aksesori filem penapis haba juga tiada kluster dan tidak membabitkan aktiviti berkumpul.

“Kami hanya menjalankan pemasangan pada setiap kenderaan yang hanya membuat temu janji dan pelanggan juga meninggalkan kenderaan sepanjang proses pemasangan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hafizee, sekiranya larangan itu berterusan, dia khuatir pengusaha kedai tidak mampu lagi bertahan berikutan terpaksa menanggung bayaran termasuk kos sewa kedai dan gaji kakitangan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri diharap mempertimbangkan untuk membenarkan kedai-kedai berkenaan beroperasi seperti mana di negeri-negeri lain dan bersedia untuk mengikut segala syarat ditetapkan.

“Kami bimbang tidak boleh bertahan lagi sekiranya PKP diteruskan dalam tempoh panjang dan kedai masih dilarang untuk beroperasi.

“Ini akan menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menutup operasi dan memberhentikan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman ketika dihubungi enggan mengulas lanjut namun meminta pengusaha kedai merujuk permasalahan tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN