fbpx

Pekerja asing disaring positif naik mendadak kepada 97 orang

Kerajaan menwajibkan majikan untuk memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19 - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara semalam naik drastik setelah catat penurunan sehari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati 97 orang direkodkan berbanding hanya sembilan individu pada kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 15,399 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 458,919 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 22,912 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 8,101 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 450,818 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,468 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kementerian Sumber Manusia kata Ismail Sabri turut menjalankan aktiviti penguatkuasaan terutama di kilang yang ada kes Covid-19.

“Terdapat kilang buat inisiatif secara sukarela dengan hantar terus pekerja mereka menjalani ujian saringan dan dimasukkan dalam sistem maklumat Kementerian Kesihatan,” katanya.

Secara kumulatif, sehingga 15 Februari lalu, seramai 1,051,494 pekerja asing telah disaring termasuk 154,466 orang melalui aktiviti penguatkuasaan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Baki sejumlah 456,785 orang lagi jelas beliau, sudah pun menjalani ujian saringan dibuat secara berasingan oleh Kementerian Kesihatan atas daya usaha pihak pengurusan kilang sendiri.

Mulai 1 Februari lalu, ujian dilaksanakan Perkeso itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan yang diwajibkan sejak 1 Disember tahun lepas.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Ia menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring Perkeso menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.- UTUSAN ONLINE