Pekerja asing disaring positif naik mendadak kepada 205 orang - Utusan Malaysia

Pekerja asing disaring positif naik mendadak kepada 205 orang

Keperluan ujian saringan penting untuk mengetahui tahap jangkitan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 seluruh negara semalam naik mendadak setelah catat kejatuhan sehari sebelum itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati 205 orang direkodkan berbanding hanya 37 individu dicatatkan kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 16,568 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 491,484 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 25,221 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, 8,490 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 482,994 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,484 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sejak 1 Disember lalu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Ia menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring Perkeso menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan 52 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Semua mematuhi peraturan ditetapkan dan sejak 20 April lalu, sejumlah 8,911 tapak binaan di negara ini telah pun diperiksa oleh anggota penguat kuasa agensi tersebut,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya