TAPAH: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi mengatasi masalah berkaitan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam kalangan pelajar Orang Asli.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ketiadaan kemudahan dan capaian Internet yang lemah dikenal pasti sebagai cabaran utama bagi anak-anak Orang Asli untuk mengikut PdPR.
Menurutnya, justeru penyelesaian segera bagi mengatasi masalah itu perlu dilakukan bagi memastikan tiada anak-anak Orang Asli ketinggalan dalam pelajaran.
“Pada pandangan saya, terdapat dua isu iaitu masalah capaian internet yang lemah atau tiada langsung liputan di satu-satu kawasan selain tiada peralatan seperti telefon bimbit dan komputer.
“Kita faham, bukan semua mereka orang senang untuk menyediakan peralatan bagi sesi pembelajaran anak-anak dan kita percaya Kementerian Pendidikan juga akan melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Memperkasa Community Survillance dan menyampaikan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Kampung Chang di Sungai Gepai, Bidor di sini hari ini.
Sebanyak 69 unit bakul makanan diserahkan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di perkampungan berkenaan.
Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, beliau percaya, sekiranya kaedah PdPR dijalankan berterusan, kerajaan akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasinya berdasarkan cadangan oleh Kementerian Pendidikan sendiri.
“Perkara ini memang selalu kita bincangkan dan kalau diarahkan kementerian untuk bantu, kita akan turun padang dan berjumpa dengan masyarakat luar bandar yang terkesan,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Chang, Dahil Yokchopil berkata, terdapat kira-kira 90 anak Orang Asli di kampung tersebut yang masih bersekolah namun rata-rata mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian.
‘Tiada internet di kampung ini, jadi bagaimana mereka mahu belajar? Ibu bapa pula buta huruf jadi susah untuk mereka bantu anak-anak.
“Saya harap kerajaan boleh lakukan sesuatu. Kami bimbangkan masa depan mereka dan jika masalah berterusan, mereka mungkin hilang minat untuk belajar,” katanya. -UTUSAN ONLINE










