KUANTAN: Sudah sampai masanya Malaysia melaksanakan transformasi politik dengan meninggalkan cara lama yang mengikat kerajaan negeri dan Pusat untuk sentiasa seiring.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan, langkah ini penting kerana perbezaan pandangan antara negeri dan kerajaan Pusat boleh menjadi pemangkin kepada kematangan demokrasi.
Menurutnya, negeri-negeri wajar diberi ruang untuk melaksanakan dasar yang lebih sesuai dengan keperluan setempat, manakala kerajaan Pusat berperanan sebagai penyelaras dasar besar yang menyentuh kepentingan nasional.
“Sudah tiba masanya kita meninggalkan pendekatan lama. Negeri tidak semestinya perlu seiring dengan Pusat dalam semua perkara. Perbezaan itu sebenarnya boleh memperkayakan demokrasi dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Transformasi politik ini akan memberi implikasi kepada negeri dalam memperkukuh autonomi pentadbiran, sekali gus membolehkan setiap kerajaan negeri lebih responsif terhadap isu-isu tempatan seperti pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan pengurusan sumber.
“Kerajaan Pusat tetap memainkan peranan penting sebagai pengimbang, memastikan dasar utama negara tidak bercanggah dengan kepentingan keseluruhan. Transformasi ini bukan bermaksud perpecahan, tetapi satu bentuk kematangan politik yang membolehkan negeri dan Pusat bergerak dengan identiti masing-masing, namun tetap berpadu dalam hal-hal besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, keberanian untuk berubah adalah kunci kepada kelangsungan politik Malaysia, terutama dalam menghadapi cabaran global dan tuntutan rakyat yang semakin kompleks.
Beliau menegaskan, sebagai mana di Johor, keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) adalah hak kerajaan negeri dan tidak perlu menunggu arahan daripada Pusat.
Bagaimanapun katanya, situasi di Johor contoh jelas bagaimana kerajaan negeri boleh terbentuk tanpa gabungan, kerana parti yang bertanding berjaya memperoleh majoriti sendiri. Dalam keadaan sebegini, tidak timbul keperluan untuk berunding atau membentuk gabungan politik.
“Gabungan biasanya muncul selepas pilihan raya apabila tiada satu parti pun memperoleh majoriti mudah. Ini dapat dilihat di peringkat Persekutuan apabila kerajaan Perpaduan dibentuk hasil kompromi antara parti-parti utama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengambil contoh daripada Sabah dan Sarawak yang mempunyai kuasa politik tersendiri, termasuk parti-parti tempatan yang berbeza daripada arus nasional.
“Kita tidak menolak kemungkinan negeri-negeri lain selepas ini juga akan menyaksikan kemunculan parti politik berasaskan negeri, seperti Parti Rakyat Pahang, Parti Rakyat Johor, atau Parti Rakyat Negeri Sembilan.
“Malaysia perlu bergerak ke arah sistem federal lebih matang, yang mana negeri mempunyai kuasa tersendiri. Tidak semestinya Pusat dan negeri mesti seiring. Kedua-duanya boleh berbeza, dan perbezaan itu sebenarnya memperkukuh demokrasi kita,” tegasnya.
Beliau turut merujuk kepada contoh Amerika Syarikat (AS) yang mana setiap negeri mempunyai kuasa besar dalam menentukan polisi pendidikan, kesihatan dan cukai, walaupun masih berada dalam kerangka persekutuan.
“Di Jerman, sistem federal memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk menguruskan hal ehwal pendidikan dan budaya, menjadikan demokrasi lebih dekat dengan rakyat. Begitu juga di Australia, negeri mempunyai kuasa tersendiri dalam hal ehwal kesihatan dan undang-undang, walaupun dasar keselamatan dan luar negeri dikawal oleh pusat,” katanya.
Jadi tegasnya, Malaysia boleh mencontohi model-model tersebut untuk memperkukuh demokrasi, dengan memberi ruang kepada negeri menentukan masa depan masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada Pusat.
“Perbezaan antara negeri dan Pusat bukanlah kelemahan, sebaliknya satu kekuatan yang boleh melahirkan kepelbagaian idea dan dasar yang lebih sesuai dengan realiti tempatan. Ini akan menjadikan politik Malaysia lebih dinamik, dengan rakyat negeri merasakan mereka mempunyai kuasa sebenar dalam menentukan hala tuju politik dan pembangunan,” katanya. – UTUSAN










