Padah rakam video bawah skirt wanita, bapa enam anak didenda RM7,000 - Utusan Malaysia

Padah rakam video bawah skirt wanita, bapa enam anak didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Denda RM7,000 kerana merakam video bawah skirt yang dipakai oleh seorang wanita dalam lif.

Demikian keputusaan Mahkamah Majistret di sini hari ini ke atas seorang penghantar makanan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengganggu kesantunan wanita itu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli mendenda Shahidan Mohammad, 46, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya. Denda itu kemudian dijelaskan.

Bapa kepada enam anak itu didakwa dengan niat mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 38 tahun, dengan merakam video menggunakan telefon bimbitnya, yang diletakkan di bawah skirt yang dipakai mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di lif sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, pukul 9 malam pada 20 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Menurut Muhammad Hairul Iqram perbuatan itu jelas menunjukkan tertuduh tidak menghormati serta mengganggu kesantunan wanita.

“Justeru harap mahkamah dapat memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam perlu melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, S Priyalatha merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menyara isteri dan anak-anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

“Anak guam saya memohon maaf kepada semua pihak terutama mangsa dan memohon budi bicara mahkamah agar memberi hukuman denda yang minimum,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang berada bersama Shahidan dalam lif itu merasakan pahanya dicubit namun tidak pasti apa yang dilakukan tertuduh.

Curiga dengan kejadian yang menimpa, mangsa kemudian telah meminta pihak pengurusan menunjukkan rakaman televisyen litar tertutup atau Closed Circuit Televisyen‘ (CCTV).

Hasil dari rakaman CCTV itu, mangsa mendapati lelaki itu telah mengambil gambar dengan meletakkan telefon bimbit di bawah skirt. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya