Kenapa tergesa-gesa? - Utusan Malaysia

Kenapa tergesa-gesa?

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Golongan ibu bapa yang anak-anak mereka akan bersekolah mulai 1 Mac ini menyifatkan keputusan kerajaan membuka semula sesi persekolahan sebagai terlalu drastik terutama selepas memperkenalkan saluran televisyen pendidikan DidikTV serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Apatah lagi, rata-rata mereka khususnya yang kurang berkemampuan bertungkus-lumus menyediakan kelengkapan se­perti telefon bimbit, komputer dan internet bagi membolehkan anak mereka mengikuti PdPR di rumah.

Seorang suri rumah, Azizah Shafie, 44, berkata, tindakan itu seperti dibuat tergesa-gesa sedangkan pada tarikh 1 Mac itu, masih ada negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak dinafikan, ramai ibu bapa yang telah banyak me­ngorbankan duit membeli gajet atau kelengkapan untuk PdPR dan saya percaya sebahagian para guru juga telah bertungkus-lumus menyediakan bahan walaupun wujud pelbagai kekangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, lebih lima juta pelajar bakal menjejaki semula sekolah secara berperingkat buat kali pertama pada tahun ini mulai 1 Mac selepas lebih sebulan pelaksanaan PdPR dimulakan pada 20 Januari lalu.

Kumpulan pertama keha­diran pembelajaran secara bersemuka melibatkan kira-kira 1.2 juta murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala bagi pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pula, sesi persekolahan bermula 8 Mac.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli pula berkata, kementerian sepatutnya memberi peluang kepada guru, murid belajar dari rumah dan menerusi DidikTV KPM yang baru dilancarkan.

“Sewajarnya dalam tempoh darurat dan pandemik Covid-19 masih menular, biarlah PdPR dilaksanakan dulu untuk tempoh beberapa bulan lagi,” katanya.

Seorang ibu, Zuliana Zainal Abidin, 42, juga tidak bersetuju dengan keputusan drastik Kementerian Pendidikan membuka semua sesi persekolahan.

“Jika kita lihat sekarang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang jumlahnya tidak ramai pun berlaku jangkitan Covid-19 di sekolah, bayangkan jika lebih ramai yang ke sekolah nanti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md. Kechik berkata, penularan Co­vid-19 tidak menentu dan kemungkinan sesi persekolahan boleh ditutup semula seperti sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya