KANGAR: Jumlah kes Covid-19 menunjukkan peningkatan yang menggerunkan setiap hari sekali gus menyebabkan petugas barisan hadapan terus bertungkus lumus dalam menangani dan merawat pesakit pandemik berkenaan.
Meskipun, bebanan semakin berat, mereka sama sekali tidak pernah merungut apabila terpaksa mengorbankan masa dan tenaga demi tanggungjawab itu dan besar harapan para petugas ini agar masyarakat turut sama membantu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Mohamad Aizzad Ab Halim, 32, berkata, meskipun terpaksa berjauhan dengan isteri yang berkerja di Hospital Kulim, Kedah, situasi itu langsung tidak melemahkan semangatnya yang bertugas dalam menangani Covid-19 sejak setahun lalu.
Katanya, meskipun terasa sunyi, dia tidak mahu mengambil risiko membuat banyak perjalanan merentas negeri yang boleh membahayakan nyawa insan tersayang.
“Kalau saya hendak pergi ke tempat isteri pun, saya bimbang juga dengan situasi kes Covid-19 di Kedah. Jadi, kami berdua memutuskan untuk berjumpa sebulan sekali sahaja dalam usaha menjaga keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, memang agak penat apabila kes positif semakin bertambah, apatah lagi perlu berhadapan dengan kerenah pesakit yang pelbagai ragam di hospital.
“Walau bagaimanapun, saya tidak akan mengeluh kerana ini merupakan satu pengalaman yang bermakna dan banyak perkara baharu yang saya pelajari.
“Oleh itu, saya berharap orang ramai di luar sana dapat mengikut saranan dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka dan sentiasa mematuhi amaran Kementerian Kesihatan.
“Malah, elakkan berada dalam kawasan yang sesak, kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat. Tolanglah patuhi SOP ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu Perawatan Kesihatan, Erny Shazlinda Md. Rashid, 34, pula memberitahu, dia terpaksa meninggalkan dua orang anaknya yang berusia tujuh dan sembilan tahun setiap hari untuk bertugas di wad pengasingan pesakit Covid-19.
Menurut ibu tunggal yang kehilangan suami sejak 2016 itu, tugasnya termasuklah memberi makan, menukar cadar serta memandikan pesakit yang tidak mampu untuk bangun.
“Saya dulu suri rumah, baru sahaja saya mendapat kerja ini pada April 2019 dan seterusnya terlibat pula secara langsung dalam menangani Covid-19.
“Bimbang terhadap Covid-19 memang ada tetapi saya akan memastikan untuk membersihkan diri terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah kerana saya juga tinggal bersama ibu bapa yang juga sudah berusia,” katanya. – UTUSAN










