fbpx

Hukuman lebih tegas tidak kena masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hukuman lebih tegas seperti kompaun sehingga RM10,000 terhadap individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 11 Mac depan disifatkan tidak tepat pada masa dan terlalu membebankan rakyat.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, di saat sedang bergelut dengan kepayahan hidup, rakyat disajikan kenaikan kadar kompaun yang pasti akan menekan mereka dalam menjalani kehidupan harian.

“Denda adalah wajar, akan tetapi bukan ini cara yang terbaik buat rakyat, tidak perlu dinaikan denda, buatlah penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan ketat bukannya meletakkan segala beban kepada rakyat.

“Bagi sektor perniagaan, kadar baharu kompaun RM50,000 sangat melampau, bagi yang berniaga kecil-kecilan (IKS) untuk dapat RM5,000 sebulan pun belum tentu apatah lagi nak bayar denda sebanyak yang diumumkan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Menurut laman Pejabat Peguam Negara, individu yang melanggar PKP berdepan hukuman lebih tegas bermula 11 Mac, di bawah pindaan Ordinan Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Antara hukuman tegas itu termasuklah kompaun untuk kesalahan di bawah akta itu dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat.

Ia telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, jika syarikat terus-menerus ditekan dengan pelbagai denda yang tidak masuk akal, bagaimana pemain industri mampu membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran negara.

“Kerajaan telah membuat dasar dan peraturan yang tidak tepat pada masanya, kadar sedia ada sudah tinggi namun ia cukup ‘logik’ bagi memberi peringatan kepada rakyat.

“Apabila dinaikkan, ini sudah melampau dan seolah-olan menindas rakyat,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata, ketika rakyat menghadapi kesukaran dalam tempoh pandemik Covid-19, kerajaan sepatutnya memikirkan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat dan membantu memikirkan masalah yang dihadapi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pada masa sama, perlu mencari inisiatif membantu pelajar-pelajar sekolah menyesuaian diri dengan norma baharu pendidikan serta menaikan semangat pelajar yang jatuh setelah meninggalkan dalam pendidikan selama hampir setahun.

“Kerajaan juga sepatutnya membantu peniaga-peniaga kecil dengan alternatif terbaik selain memberi sokongan dan pengurusan hidup kepada golongan B40 yang terkesan dan terjejas dengan amat dahsyat,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI