Geran RM1.7 juta, buka Taska OKU - Utusan Malaysia

Geran RM1.7 juta, buka Taska OKU

RINA Mohd. Harun (tiga dari kanan) melihat teknik yang diajar oleh guru-guru pakar ketika lawatan ke Taska OKU di Yayasan Toh Puan Zurina, Pantai Peringgit, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Geran bernilai RM1.7 juta masih dibuka untuk dimanfaatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi pembukaan taman asuhan kanak-kanak (Taska) orang kurang upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan peruntukan berjumlah RM3.148 juta kepada 13 Taska OKU yang beroperasi di seluruh negara.

Beliau berkata, peruntukan itu disediakan untuk menggalakkan lebih banyak pembukaan Taska berkeperluan khas itu yang dilihat sangat penting, terutama dalam menyediakan program intervensi awal dan pengasuhan asas pengurusan diri.

“Kita masih membuka geran bernilai RM1.7 juta untuk dimanfaatkan pengusaha pusat asuhan dengan membuka Taska OKU yang dilihat sangat penting dalam membantu kelangsungan kanak-kanak istimewa ini, serta kemudahan kepada ibu bapa.

“Jika di rumah, anak-anak ini mungkin tidak dapat membentuk pembelajaran yang diperlukan atau khusus mengikut keadaan kesihatan masing-masing, seperti yang disediakan di Taska OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Taska OKU Ikhlas di Yayasan Toh Puan Zurina, Pantai Peringgit di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar.

Mengulas lanjut, Rina berkata, setakat ini hanya terdapat 13 Taska OKU di seluruh negara yang mana Taska OKU Ikhlas adalah pertama di Melaka.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan Bantuan Geran Pelancaran berjumlah RM500,000 kepada Taska OKU Ikhlas.

“Ibu bapa juga tidak perlu berasa rendah diri apabila anak mereka diberikan kad OKU dan sewajarnya menjadikan kad bagi golongan istimewa itu sebagai pemangkin semangat, lebih-lebih lagi ia menyediakan 26 faedah bagi membantu golongan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya