Gelembung perjalanan Malaysia-Indonesia rancakkan semula industri pelancongan - Nancy Shukri - Utusan Malaysia

Gelembung perjalanan Malaysia-Indonesia rancakkan semula industri pelancongan – Nancy Shukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia merupakan satu berita baik kerana beliau berjaya mendapatkan persetujuan untuk membenarkan gelembung perjalanan atau travel bubble antara dua negara.

Beliau berkata travel bubble merupakan salah satu pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan yang telah dirangka kerajaan sejak Julai tahun lalu sebagai langkah untuk merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara.

“Alhamdulillah, ia merupakan berita baik dan ditunggu-tunggu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan beliau mendapatkan kesepakatan Indonesia dalam membenarkan gelembung perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Nancy berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri dalam meneroka peluang untuk bekerjasama mewujudkan travel bubble dengan beberapa negara.

Antaranya negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand atau negara-negara ASEAN dan Asia Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand yang dikenalpasti selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pelaksanaannya bagaimanapun adalah tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data, dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan di kedua-dua negara,” katanya.

Di samping itu, Nancy berkata Malaysia yang juga Pengerusi Suruhanjaya bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global UNWTO turut menyuarakan cadangan ketelusan dan penyeragaman prosedur operasi standard (SOP).

“SOP itu meliputi rentas sempadan oleh negara-negara yang selamat bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan daripada agensi-agensi kesihatan negara masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya