Emas 916 berharga RM208 segram di PD - Utusan Malaysia

Emas 916 berharga RM208 segram di PD

ORANG ramai beratur untuk memasuki sebuah kedai emas di bandar Port Dickson ketika tinjauan Utusan Malaysia semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Berikutan harga emas yang menunjukkan trend penurunan sejak kebelakangan ini, orang ramai mengambil peluang menyerbu beberapa buah kedai emas di bandar ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah kedai emas mendapati, harga bagi satu gram emas 916 ditawar pada harga RM208 menyebabkan kedai berkenaan menjadi tumpuan dan pelanggan sanggup beratur panjang seawal kedai berkenaan dibuka pada pukul 11 pagi.

Menurut peniaga kedai berkenaan yang tidak mahu dikenali, perniagaan emas berkenaan telah diusahakan sejak 40 tahun lalu oleh keluarganya dan kini mereka memiliki tiga kedai dengan dua daripadanya di daerah ini manakala sebuah lagi di Nilai.

“Jika tiada sekatan rentas daerah mungkin lebih ramai lagi beratur susulan harga emas di pekan ini ditawarkan agak rendah, bukan di kedai ini sahaja.

“Namun disebabkan pendemik Covid-19 dan kami harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, hanya 18 orang pelanggan dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa berbanding 28 orang sebelum ini,” katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, harga emas yang lebih murah di sini berbanding di daerah lain adalah sebagai satu strategi perniagaan bagi menarik pelanggan.

“Harga semasa di pasaran bagi emas 916 adalah sebanyak RM232 segram, di sini kami beri lebih murah kerana ia merupakan strategi perniagaan.

“Kedai emas saya di Nilai juga tidak ditawarkan harga sebegini, namun harga RM208 bagi segram itu tidak termasuk kos upah yang bergantung kepada reka bentuk dan corak emas tersebut,” katanya.

Katanya, pelanggan kini sudah semakin bijak membuat pembelian emas dan mengetahui harga semasa emas serta jumlah upah yang dikenakan ke atas emas.

“Oleh itu, kami tampil dengan kelainan sesuai dengan peredaran masa iaitu dengan memaparkan harga emas dan berat yang ditawarkan di laman web kedai emas kami.

“Mereka boleh membuat perbandingan awal dengan kedai lain dan mengira sendiri upah yang kami tawarkan bagi jenis rekaan emas kami,” katanya.

Jelasnya, semakin berat emas yang dibeli semakin kurang kadar upah yang dikenakan.

Sementara itu seorang pelanggan, Norafida Sharif, 40, dari Bandar Sunggala dekat sini berkata, dia tidak mengetahui harga emas kini murah dan terkejut apabila sampai di kedai berkenaan, sudah ramai pelanggan yang beratur.

Bagaimanapun menurutnya, dia tidak kisah untuk beratur bersama suami memandangkan mereka sememangnya ingin meninjau terlebih dahulu harga emas ditawarkan sebelum membuat pembelian.

“Kalau kita jual emas sekarang mungkin rugi sebab harga emas segram kini murah. Kalau kita beli pula, ia bagi pelaburan masa depan,” katanya.

Bagi seorang lagi pelanggan, Jasnor Sofea Jamaludin, 24, dia datang bersama tunangnya untuk membeli cincin bagi perkahwinan mereka yang dijangka pertengahan tahun ini bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19.

Menurutnya, kedai berkenaan merupakan kedai ketujuh dikunjungi mereka bagi membuat perbandingan harga barangan kemas yang ditawarkan.

“Ada kedai yang mengenakan upah tinggi dan menghampiri harga segram emas. Saya harap kali ini kunjungan kami dapat menemukan cincin emas yang bersesuaian dengan anggaran kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.