Covid-19: 157 kluster libatkan sektor pembuatan - Utusan Malaysia

Covid-19: 157 kluster libatkan sektor pembuatan

DR. Adham Baba diberikan penerangan ketika mengadakan tinjauan lapangan ke sebuah kilang di Taman Perindustrian Tuanku Jaafar, Senawang, Seremban hari ini yang telah merekodkan sebanyak 61 kes positif Covid-19 sehingga semalam.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 157 daripada 446 kluster tempat kerja yang dikesan sepanjang melandanya gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19 di negara ini adalah melibatkan sektor pembuatan termasuk perkilangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada bilangan kluster berkenaan, jumlah kes positif adalah sebanyak 38,849 individu dengan 147,916 individu telah disaring secara keseluruhan.

“Kita dapati 157 kluster ini merupakan antara kluster tertinggi daripada 446 kluster tempat kerja yang dilaporkan sepanjang gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Semalam sahaja empat kluster baharu yang melibatkan kilang telah dilaporkan, Setiap hari ada sahaja kluster yang melibatkan kilang. Setiap kilang memang terdedah kepada jangkitan Covid-19 jadi kita tidak boleh berkompromi dengan pihak kilang yang tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP), garis panduan yang telah diberikan sebelum ini,” katanya.

Dr. Adham berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan lapangan ke kawasan sebuah kilang di Taman Perindustrian Tuanku Jaafar, Senawang, dekat sini yang telah merekodkan sebanyak 61 kes positif Covid-19 sehingga semalam.

“Sehingga semalam, seramai 61 telah dikesan positif Covid-19 iaitu 41 merupakan individu warganegara dan 20 individu warga asing. Kesemuanya dari 416 individu yang telah disaring, ia bermula dengan saringan bergejala seorang pekerja kilang dan saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sekerja telah dijalankan.

“Punca penularan jangkitan masih lagi dalam siasatan namun begitu hasil siasatan mendapati kilang ini tidak mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan seperti tiada saringan suhu dan gejala ke atas pekerja di asrama kilang, kurang penjarakan fizikal antara pekerja di tempat kerja dan asrama pekerja,” katanya lagi.

Ujar beliau, kilang berkenaan telah diarahkan tutup daripada beroperasi bermula 3 Februari lalu sehingga 9 Februari depan untuk pelaksanaan saringan kesihatan ke atas pekerja dan kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman.

“Penutupan kilang ini adalah satu langkah penguatkuasaan yang patut diambil bagi memastikan tidak lagi wujud kes Covid-19 di kilang-kilang. Kita perlukan ekonomi bergerak dan kilang harus patuh dengan garis panduan supaya mereka boleh beroperasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN