Bersatu tidak ambil peduli kenyataan Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Bersatu tidak ambil peduli kenyataan Nur Jazlan

RAZRUL Anwar Rusli (tengah) menyerahkan sumbangan beg sekolah, cecair nyah kuman dan wang tunai kepada pemimpin masyarakat dalam kawasan DUN Larkin ketika Program Mari Kembali Ke Sekolah Norma Baharu di Taman Nong Chik, Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/ BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan bahawa UMNO Johor tidak akan memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya pandangan peribadi Datuk Nur Jazlan Mohamed semata-mata.

Justeru, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, parti tidak perlu mengambil peduli kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu kerana hanya akan memecah belahkan perpaduan sedia ada antara kedua-dua parti khususnya di peringkat akar umbi.

“Hubungan Bersatu Johor dengan UMNO Johor di bawah kepimpinan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad amat baik dan perlu diteruskan demi kepentingan Bangsa Johor dan negeri ini.

“Diharapkan semua pihak di peringkat akar umbi kedua-dua parti akan meneruskan kerjasama. Jika ada sebarang isu yang timbul, biarkan pucuk pimpinan menanganinya dengan bijaksana dan semangat setiakawan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan beg sekolah, cecair nyah kuman dan wang tunai pada Program Mari Kembali Ke Sekolah Norma Baharu di Taman Nong Chik, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor, Nur Najihah Abd. Halim dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Badan Bertindak Bersatu Bahagian Johor Bahru, Datuk Jemale Paiman.

Semalam, Nur Jazlan berkata, Bersatu usah bermimpi UMNO Johor akan memberi laluan sebaliknya tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada Bersatu pada PRU-15 kecuali cuma boleh ‘bagi muka’ kepada kerusi Parlimen Pagoh untuk ditandingi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Razrul Anwar berkata, semua pihak tidak perlu mengeruhkan lagi hubungan antara Bersatu dan UMNO pada ketika ini yang dilihat ramai pihak hanya retak menanti belah.

Tambahnya, semua pihak perlu berhenti berpolitik yang tidak berkesudahan kerana ketika ini banyak perkara lebih penting perlu ditumpukan terutama isu membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Mengenai bantuan itu, beliau berkata, sumbangan beg sekolah, cecair nyah kuman dan wang tunai diberikan kepada 120 murid daripada keluarga B40 sekitar kawasan Larkin.

Sumbangan beg sekolah, cecair nyah kuman dan wang tunai itu adalah daripada beliau sendiri, Biro Ekonomi Bersatu Johor Bahru, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan IKS Mart. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya