Bersatu hanya kejar jawatan, imbuhan - Utusan Malaysia

Bersatu hanya kejar jawatan, imbuhan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah Perikatan Nasional (PN) dikepalai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mahu mengejar jawatan, imbuhan dan peruntukan.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed malah berkata, sekiranya Bersatu terpilih sebagai wakil rakyat, mereka masih bergantung kepada UMNO untuk menjalankan khidmat masyarakat.

Katanya, beliau tidak melihat UMNO dan PN boleh berganding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana Bersatu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan UMNO sebagai parti dominan untuk memenangkan calonnya, meraih kuasa dan mahu parti itu menjadi pendukung PN.

Justeru itu, beliau tetap dengan pendirian UMNO tidak akan memberi laluan kepada Bersatu dalam pilihan raya nanti kerana ia boleh merosakkan peluang UMNO untuk kembali berkuasa di negeri itu.

“Bagaimana calon Bersatu mahu menang apabila kehilangan undi asas Pakatan Harapan (PH) yang besar dan memberikan kemenangan pada PRU-14 dan selepas itu mengharapkan undi daripada UMNO pada PRU-15?

“Lebih baik calon UMNO bertanding. Malah UMNO juga berpotensi hilang undi orang bukan Melayu kerana pengkhianatan Bersatu kepada PH setahun lepas. Usaha BN meraih semula undi bukan Melayu semasa PRK Tanjong Piai juga akan terjejas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Nur Jazlan turut tidak bersetuju dengan pandangan bahawa UMNO mesti berganding dengan PN demi kepentingan Melayu Islam kerana saranan tersebut sudah tidak relevan selepas proklamasi darurat dan persepsi negatif rakyat selepas setahun penubuhan PN.

Jumaat lalu, Nur Jazlan meminta Bersatu supaya tidak bermimpi UMNO Johor akan memberi ruang sebaliknya tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan semua kerusi ditandingi kepada Bersatu kepada PRU-15.

Kenyataan Jazlan mendapat reaksi berbeza daripada Setiausaha Bersatu Johor, Dr. Sahruddin Jamal yang menggesa Nur Jazlan fokus membantu rakyat di kawasannya.

Hubungan UMNO dan Bersatu sehingga hari ini dilihat tidak jelas selepas selepas 189 daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PN tahun lalu.

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan Persekutuan bersama-sama UMNO-BN, Pas dan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Pas pada masa sama memeterai kerjasama dengan UMNO menerusi MN namun Pas dilihat berpihak kepada PN.

Kata Nur Jazlan, pilihan yang ada untuk terus kekal bersama Bersatu tidak menguntungkan justeru, UMNO perlu memikirkan nasib partinya dan langkah terbaik adalah memutuskan jalinan kerjasama dengan Bersatu.

“Inilah yang dikatakan keresahan akar umbi UMNO yang diterjemahkan dalam usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada mesyuarat perwakilan bahagian bulan lepas.

“Dalam masa darurat ini kerajaan parti politik macam PN tergantung. Kerajaan darurat sekarang bukan bersandarkan demokrasi berparlimen. Jadi UMNO sebagai parti politik tidak terikat untuk menyokong kerajaan sekarang selepas darurat dibatalkan” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya