611 ditahan ingkar SOP - Utusan Malaysia

611 ditahan ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 611 individu ditahan semalam atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbanding 680 yang ditahan kelmarin.

Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 67,500 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,055 pasukan di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 601 dikompaun dan 10 lagi direman dengan kes paling tinggi ialah tiada pelitup muka (145 individu).

“Ini diikuti merentas kawasan tanpa kebenaran (109), tiada jarak fizikal (107), gagal sedia alat merekod butiran diri (87), premis beroperasi lebih masa (50) dan lain-lain (113),” katanya.

Beliau menambah, sejumlah 14,648 anggota memantau sejumlah 5,661 restoran, 3,901 pasar raya, 3,689 bank, 2,207 penjaja, 1,478 kilang dan 777 pejabat kerajaan.

Katanya, turut dipantau ialah sebanyak 1,098 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air dan 78 terminal pengangkutan udara.

Seramai dua pendatang asing tanpa izin turut ditahan melalui Operasi Benteng yang meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.

“Tiga buah kenderaan darat juga dirampas manakala 536 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 92 buah bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, sejumlah 63 operasi sanitasi awam meliputi 37 zon merah, dua zon jingga, tiga zon kuning dan satu zon hijau dilakukan di seluruh negara semalam.

Jelasnya, ini melibatkan penugasan seramai 414 anggota bomba selain 98 anggota dari pihak berkuasa tempatan dan dengan penggunaan sejumlah 56 buah jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 1,098 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 115,580 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 75 buah hotel serta 14 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 477 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 106,969 individu lagi sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan pula membuat 49 pemeriksaan di seluruh negara dengan satu tapak binaan didapati tidak mematuhi SOP dan satu lagi tidak beroperasi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 585 peruncit, 160 pemborong dan 30 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,284 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan lapan diberikan nasihat, lapan dikenakan amaran dan lima lagi premis dikompaun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN