4 teras perkasa usaha KDN - Utusan Malaysia

4 teras perkasa usaha KDN

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekankan empat teras utama dalam memperkasakan semua aspek seiring prinsip menjaga nyawa dan harta benda seperti yang terkandung di dalam Maqasid Syariah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, empat teras utama terbabit adalah Pelan Strategik 2021 hingga 2025 yang melihat aspek bagi memastikan keselamatan, kawalan sempadan, membanteras dadah dan transformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Memperkukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi teras pertama yang selari dengan perancangan sedia ada.

“Dasar dan perundangan akan diperkukuhkan dengan melaksanakan kajian dan pindaan ke atas akta-akta di bawah bidang kuasa KDN bagi memperkasakan aspek penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Amanat Tahun Baharu 2021 yang siarkan secara langsung di Facebook, Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Hamzah berkata, bagi teras kedua, memperkasa kawalan sempadan, maritim dan membanteras jenayah rentas sempadan yang memberi fokus utama mentransformasi pengurusan dan tadbir urus kawalan sempadan negara.

“Tahun ini, pengurusan sempadan darat dan laut akan diperkukuhkan melalui pendekatan lima sempadan hadapan iaitu sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak.

“Ia akan melihat kepada keperluan untuk pembinaan pagar sempadan, penggunaan teknologi terkini seperti sistem rakaman litar tertutup (CCTV), radar serta dron dan pembinaan pos kawalan adalah berbeza mengikut barisan yang berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, membanteras gejala dadah dan substans menjadi teras ketiga dengan memantapkan lagi dasar pengalihan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah yang telah ditetapkan pada tahun lepas.

Katanya, ia akan dimantapkan melalui penggubalan Rang Undang-Undang baharu dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substans bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1983.

“Pengukuhan pendekatan dan rawatan dan pemulihan secara sukarela sedia ada perlu dilaksanakan dan inisiatif untuk membuat penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan melalui penghasilan Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela yang akan dibangunkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Saya yakin, adanya modul baharu ini, lebih ramai penagih dadah akan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” katanya.

Tambahnya, teras terakhir iaitu mentransformasi institusi dan sistem penyampaian perkhidmatan, KDN mahu memperkasakan usaha pendigitalan perkhidmatan yang berteknologi dan berkapasiti tinggi bagi meningkatkan perkhidmatan ‘end to end’.

“Sebagai kementerian yang diberi tanggungjawab, kita akan memulakan inisiatif untuk membangunkan Identiti Digital Nasional (IDN), di bawah Digital Economic Blueprint yang merupakan salah satu inisiatif pendigitalan dan Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) Negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.