Kecederaan Ee Wei ubah percaturan negara

Kecederaan Ee Wei ubah percaturan negara

TOH Ee Wei (tengah) menahan kesakitan akibat mengalami kecederaan lututnya ketika beraksi perlawanan suku akhir Terbuka Singapura di Kallang. - TANGKAP LAYAR BWF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecederaan yang menimpa pemain beregu campuran utama, Toh Ee Wei hadir pada waktu paling tidak sesuai apabila kem beregu campuran negara kini terpaksa menyusun semula perancangan menjelang Kejohanan Dunia pada Ogos dan Sukan Asia 2026 pada September yang semakin hampir.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui kecederaan pemain berusia 26 tahun itu memberi kesan besar terhadap perancangan yang telah dirangka lebih awal untuk pasangan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

“Kacau memang kacau kerana kami sudah semakin dekat dengan Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.

“Tetapi dalam badminton perkara seperti ini memang biasa berlaku, jadi sebagai jurulatih kami perlu bersedia dan mempunyai alternatif lain,” kata Nova kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Situasi menjadi lebih mencabar apabila tahap kecederaan sebenar Ee Wei masih belum dapat dipastikan sepenuhnya dengan kem negara masih menunggu laporan terperinci sama ada pemain itu memerlukan pembedahan atau sebaliknya.

“Perkembangan dia setakat ini nampak okey, tetapi kami masih belum tahu secara terperinci.

“Ada laporan menyebut mengenai ACL (ligamen anterior cruciate) dan kami masih berbincang dengan doktor untuk mengetahui sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau tidak,” ujarnya.

Bagi memastikan Tang Jie tidak kehilangan rentak pertandingan, Nova membuat keputusan memasangkan pemain itu bersama pemain muda, Clarissa San bagi menghadapi Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan depan.

Menurut jurulatih dari Indonesia itu, Clarissa dipilih kerana dianggap pemain paling menyerlah dalam kelompok junior ketika ini selain berpeluang menimba pengalaman beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia.

“Saya pilih Clarissa kerana pada pandangan saya dia mempunyai prestasi paling baik dalam kalangan pemain junior ketika ini.

“Buat masa sekarang saya belum boleh bercakap mengenai perancangan jangka panjang kerana kami masih menunggu perkembangan Ee Wei, tetapi untuk Jepun dan China saya mahu mencuba kombinasi Tang Jie dan Clarissa terlebih dahulu,” katanya.

Dalam masa sama, Nova turut mengakui beliau terpaksa mempercepatkan proses penilaian terhadap satu lagi gandingan baharu, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang kini dilihat sebagai antara sandaran utama sekiranya Ee Wei terpaksa berehat panjang.

Bagaimanapun, Nova menegaskan kedudukan pasangan itu masih belum terjamin kerana prestasi mereka dalam beberapa kejohanan akan datang termasuk Terbuka Australia bakal menjadi penentu sama ada gandingan tersebut akan dikekalkan atau dirombak semula.

“Jimmy dan Su Yin masih belum kami kekalkan secara tetap. Kami mahu melihat prestasi mereka dalam beberapa kejohanan terlebih dahulu.

“Jika mereka mampu bersaing dan pergi jauh, mungkin kami boleh kekalkan pasangan itu, tetapi jika tidak kami masih mempunyai beberapa pilihan lain untuk dipertimbangkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN